Gerakan memperkasa penjaja dan peniaga kecil di Kadamaian, diteruskan
nabalunews

8 Disember 2024
KOTA BELUD : Sesi taklimat dan pendaftaran penjaja dan peniaga kecil diteruskan di Kadamaian, Kota Belud, untuk memperkasakan penjaja dan peniaga kecil di kawasan itu dengan
menyediakan peluang untuk mendaftar dan mendapat pendedahan kepada pelbagai agensi yang dapat membantu mereka dalam pengurusan perniagaan, sejajar dengan
Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030.
Sesi ini berlangsung di Tamu Desa Tradisi Melangkap, di sini pada Sabtu.
Pemaju Mukim N11 Kadamaian Anichlose Kesimin hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N11 Kadamaian
Datuk Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Anichlose turut berperanan sebagai perantara kepada tiga agensi yang terlibat dalam program ini, iaitu
Program Pendataan dan Pembangunan Usahawan, Penjaja dan Peniaga Kecil (DATAPPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Antara maklumat penting yang dikongsi oleh KWSP adalah pembukaan 50 slot untuk akaun KWSP percuma bagi penjaja dan peniaga kecil yang memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Anichlose berharap program ini dapat membantu penjaja dan peniaga kecil di Kadamaian untuk mengembangkan perniagaan serta memberi peluang kepada mereka untuk berdaftar dengan agensi yang dapat memberi sokongan dari segi kewangan dan perlindungan sosial.
Komentar