GERAN PELANCONGAN SABAH PERLU DITERUSKAN UNTUK PULIHKAN SEKTOR PELANCONGANGERAN PELANCONGAN SABAH PERLU DITERUSKAN UNTUK PULIHKAN SEKTOR PELANCONGAN
top of page
  • nabalunews

GERAN PELANCONGAN SABAH PERLU DITERUSKAN UNTUK PULIHKAN SEKTOR PELANCONGAN


Dr.Rizoh

6 Mac 2021

Oleh Rizoh Evied


(Artikel ini disumbangkan oleh Dr.Rizoh Bosorong, seorang graduan universiti tempatan)


Pemberian Geran Pelancongan Sabah New Deal akan membantu menambahbaik kemudahan infrastruktur di pusat-pusat pelancongan komuniti di negeri ini.


Melalui geran di bawah Kementerian Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) itu, lebih 400 pemohon yang layak menerima surat tawaran geran berjumlah RM20,000.



Geran Pembangunan Pelancongan Sabah tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM10 Juta bagi tujuan menambah baik kemudahan infrastruktur pelancongan seperti kemudahan inap desa dan produk pelancongan berasaskan komuniti.


Geran pembangunan pelancongan tersebut merupakan sebahagian daripada Sabah New Deal dengan peruntukan keseluruhan RM240 Juta telah diumumkan oleh Datuk Seri Shafie Afdal pada 18 Jun 2020 bagi memacu kembali ekonomi Sabah selepas pandemik Covid-19.


Sebelum Pandermik Covid-19 melanda dunia, sektor pelancongan merupakan antara pemancu utama ekonomi negara dengan menyumbang 15.2% dan 15.9% kepada KDNK Malaysia pada 2018 dan 2019. Sektor ini juga merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi Sabah sejak 2016, dimana Industri Pelancongan Sabah pada 2018 merekodkan hasil tertinggi dalam sejarah dengan kutipan hasil sebanyak RM 8.342 Bilion. Kutipan tertinggi ini dipancu oleh peningkatan sebanyak 5.3% kehadiran pelancong di Sabah berbanding tahun sebelumnya.


Selain menyumbang kepada ekonomi Sabah, sektor pelancongan juga turut menambah sumber pendapatan dan menyediakan peluang pekerjaan masyarakat tempatan, dan dianggarkan 95% pekerja sektor ini adalah pekerja tempatan termasuk bidang hospitaliti dan perhotelan.


Dalam pada itu, sektor pelancongan juga turut memajukan bidang perniagaan lain seperti produk pertanian, makanan, kraftangan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan lain melalui rangkaian perniagaan. Sebab itu, ramai pengusaha telah melabur ribuan ringgit dalam industri pelancongan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan.



Walau bagaimana pun, penularan Pandemik Covid-19 telah menjejaskan hasil sektor pelancongan negara dengan kerugian dianggarkan melebihi RM110 bilion pada tahun lalu. Anggaran pendapatan pelancongan di Sabah bagi tahun 2021 juga turut berkurang kepada RM2.51 billion berikutan penularan virus pandemik di seluruh Sabah selepas PRN Sabah lalu.


Keadaan ini sudah tentu menjejaskan sumber pendapatan masyarakat tempatan melalui produk pelancongan berasaskan komuniti. Malah, sebahagian besar pemain bagi eko-pelancongan berasaskan komuniti sudah gulung tikar dan tidak kurang yang telah kehilangan pekerjaaan.


Berdasarkan situasi semasa, Majlis Tindakan Ekonomi Negara meramalkan sekurang-kurangnya empat tahun diperlukan untuk industri pelancongan negara dipulihkan. Sungguh pun demikian, Sabah cukup bertuah kerana cukai jualan keatas Produk Petroleum yang telah diwartakan pada 2019 semasa kerajaan WarisanPlus telah menjadi penyumbang terbesar kepada hasil negeri Sabah bagi tahun 2021 dengan anggaran hasil berjumlah RM1.25 Billion, iaitu mewakili 27.9% daripada keseluruhan anggaran hasil Negeri bagi tahun 2021.


Ini memberikan ‘nafas’ kepada kerajaan untuk menampung perbelanjaan pembangunan dikala sumber pendapatan lain telah menguncup berikutan penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP.


Melalui pendapatan dari hasil cukai jualan produk petroleum tersebut, Kita berharap kerajaan, melalui KePKAS akan meneruskan bantuan seperti pemberian geran pembangunan pelancongan Sabah tersebut bagi memberi peluang kepada pengusaha produk pelancongan lain yang tidak sempat memohon geran tersebut sebelum ini.


Berdasarkan belanjawan Negeri 2021, KePKAS akan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM 17.02 Juta daripada keseluruhan peruntukan pembangunan RM 964.15 Juta, dan sudah tentu jumlah tersebut tidak mencukupi. Namun, barisan kabinet negeri boleh mencari jalan untuk membantu pengusaha pelancongan komuniti dan pengusaha-pengusaha lain sekiranya melihat potensi sektor pelancongan sebagai penyumbang kutipan hasil negeri pada masa akan datang.



Menurut Datuk Jafry Arrifin, lebih 400 pemohon yang layak menerima geran tersebut berbanding lebih 1,000 permohonan diterima. Saya yakin, masih ada pengusaha pelancongan komuniti yang memerlukan bantuan atau insentif seperti geran Sabah New Deal untuk menyelenggara kemudahan pelancongan setelah sekian lama tidak beroperasi dan kehilangan sumber dana untuk menampung kos penyelenggaraan tersebut.


Di Kawasan DUN Kadamaian misalnya, lebih kurang 108 pusat pelancongan komuniti dan persendirian beroperasi sebelum penularan Pandemik Covid-19 setakat Februari 2020 lalu. Namun, sebahagian pusat pelancongan tersebut memerlukan masa dan dana untuk pulihkan kemudahan dan prasarana sebelum mula beroperasi walau pun sektor pelancongan di Sabah mula dibuka pada 5 Mac 2021.


Apa pun, pembukaan operasi sektor pelancongan di Sabah bermula 5 Mac 2021 sedikit sebanyak memberi nafas kepada pengusaha pelancongan komuniti dan pemain-pemain dalam industri pelancongan. Pada masa yang sama, penerima-penerima geran pembangunan pelancongan Sabah New Deal dapat membuka operasi pusat pelancongan masing-masing sebaik sahaja kerja naiktaraf selesai tanpa menunggu PKPP berakhir.


Seiring dengan pembukaan operasi sektor pelancongan, kita menyarankan agar kerajaan terus membantu secara khusus pengusaha dan pemain dalam industri pelancongan melalui pakej bantuan dan insentif bersesuaian seperti Geran Sabah New Deal tersebut bagi meringankan kos persediaan dan memulakan operasi.


bottom of page