top of page

Giatkan pemeriksaan kesihatan bergerak di kawasan luar bandar: Liew

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

27 Jun 2025


TAWAU: “Pemeriksaan kesihatan bergerak di kawasan luar bandar wajar dipergiatkan bagi membolehkan penduduknya turut menikmati akses rawatan seperti rakyat di bandar,” kata Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Brig Jen (B) Tan Sri Liew Yun Fah.


Justeru, beliau memuji usaha Klinik Kesihatan Tawau menyantuni seorang pesakit kanser warga emas di kediamannya di Kampung Sri Bombalai Laut, Merotai, semalam.


Katanya, tindakan mereka wajar dicontohi dan dihargai, selaras saranan Menteri Kesihatan Malaysia Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad yang mahu agar perkhimatan kesihatan ke rumah pesakit membabitkan kawasan luar bandar dan pedalaman, diperluaskan.


Menurutnya, terdapat kes pesakit, khususnya warga emas tidak dapat menjalani rawatan atau pemeriksaan kesihatan kerana berdepan masalah akses ke klinik dan hospital, sama ada akibat ketiadaan kenderaan sesuai atau sakit terlantar.


“Dalam siri Ziarah Kasih Harapan Rakyat di Kampung Sri Bombalai Laut, semalam, saya berkesempatan melawat seorang warga emas berusia lebih 80 tahun yang terlantar sakit akibat kanser perut dan buah pinggang,”katanya kepada media, hari ini.


Mengulas lanjut, Liew berkata, beliau segera menghubungi Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman bagi meminta ihsan bantuan pemeriksaan kesihatan ke atas pesakit itu di kediamannya kerana dia tidak dapat bergerak.


“Dalam tempoh kurang 24 jam, saya dimaklumkan pihak keluarga, seorang doktor dan petugas Klinik kesihatan Tawau datang ke rumah pesakit itu untuk melakukan pemeriksaan.


“Mereka turut berkongsi kaedah penjagaan dan rawatan pesakit yang betul, selain pemantauan berterusan daripada pihak hospital,”katanya lagi.


Tambahnya, tindakan proaktif petugas Klinik Kesihatan Tawau tersebut memberi banyak manfaat, khususnya kepada pesakit bagi mendapatkan akses rawatan.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada Klinik Kesihatan Tawau dan Kementerian Kesihatan Malaysia kerana sentiasa berusaha membantu penduduk kampung di kawasan pedalaman, khususnya di Merotai agar mudah mendapat akses rawatan kesihatan di rumah.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page