top of page

GLC dan Badan Berkanun Perlu Hantar Laporan Setiap Tiga Bulan

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 1 min read

ree

10 Disember 2025


KOTA KINABALU: Semua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Pengurus Besar Kumpulan (GGM) dan Pengurus Besar (GM) bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun Sabah diarahkan mengemukakan laporan prestasi bertulis setiap tiga bulan mulai tahun hadapan.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif itu bertujuan memastikan Kerajaan Negeri menerima maklumat tepat pada masanya berhubung kemajuan projek, kedudukan kewangan, keberkesanan perkhidmatan dan pencapaian masing-masing.


Katanya, mana-mana CEO, GGM dan GM yang gagal mengemukakan laporan, tidak mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau tidak menunjukkan prestasi yang memuaskan akan disemak kedudukannya, termasuk ditukar atau ditamatkan perkhidmatan.


“Semua CEO, GGM dan GM disarankan untuk menetapkan KPI yang jelas dan terukur selaras dengan mandat organisasi masing-masing.


“Langkah itu penting untuk memantau prestasi setiap entiti,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Negeri di sini, pada Rabu.


Hajiji berkata, semua projek, inisiatif, program dan perbelanjaan mesti mematuhi piawaian tadbir urus profesional, termasuk integriti kewangan, ketelusan pelaksanaan dan akauntabiliti kepada rakyat.


“Setiap GLC dan badan berkanun di Sabah mempunyai objektif yang berbeza, ada yang berorientasikan keuntungan dan ada yang berorientasikan perkhidmatan sosial.


“Semua entiti tetap bertanggungjawab menunjukkan tahap komitmen, kecekapan dan integriti yang tinggi.


“Setiap CEO, GGM dan GM yang dilantik mesti menyumbang secara bertanggungjawab seperti yang diharapkan oleh rakyat dan kerajaan bagi membantu memajukan Sabah.


“Dengan pemantauan yang lebih teratur dan pengurusan yang lebih bertanggungjawab, agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan serta memberi manfaat secara langsung kepada rakyat Sabah,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page