top of page
  • nabalunews

Gotong-royong besar-besaran di Kampung Air dan Kampung Bokara, Karamunting Sandakan tebang pokok berisiko tumbang

14 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


SANDAKAN : Satu aktiviti gotong-royong secara besar-besaran bagi menebang pokok-pokok yang berisiko tumbang dan menghempap pengguna jalanraya di sekitar Kampung Air dan Kampung Bokara, Karamunting, Sandakan akan dilaksanakan esok.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin berkata, pihaknya juga telah memanggil semua agensi berkaitan bagi melakukan gotong-royong itu bersama.


"Kita telah mengajak beberapa agensi terlibat untuk sama-sama memastikan gotong-royong ini berjaya dilaksanakan dengan kepakaran serta aset yang diperlukan seperti skylift dan peralatan yang lain," jelasnya dalam satu kenyataan selepas meninjau kawasan gotong-royong itu hari ini.


Lapan jabatan dan agensi kerajaan, termasuk Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Pejabat Parlimen Batu Sapi, TELEKOM Malaysia, Sabah Electricity Sdn Bhd, Angkatan Pertahanan Awa, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Bomba dan Penyelamat, RELA, serta wakil-wakil dan ketua-ketua kampung daripada Kampung Air dan Kampung Bokara. 


Tambahnya, sesi gotong-royong itu juga bertujuan untuk mengurangkan risiko atau mengelak kejadian pokok menghempap pengguna jalan raya dan penduduk kampung dimana pokok-pokok besar dan tinggi yang tidak diuruskan amat merbahaya terutamanya semasa cuaca buruk. 


Susulan gotong-royong itu, George berkata, jalan-jalan utama di kedua kampung tersebut akan ditutup pada esok untuk memberi ruang kepada kerja-kerja berkenaan.


Aktiviti gotong-royong yang sama juga telah diadakan di Kampung Air tahun lalu dan berjalan dengan lancar dan berjaya. 


Manakala tahun ini aktiviti itu diteruskan dengan melibatkan  sebuah lagi kampung iaitu Kampung Bokara. 


Pihaknya berterima kasih kepada semua pihak terlibat dan turut mengajak penduduk kampung sekitar juga menyertai program itu sekaligus mewujudkan persekitaran kampung yang bersih dan indah.

Comentários


bottom of page