top of page

GRS Mampu Menang Besar PRU Sabah

  • nabalunews
  • 11 minutes ago
  • 2 min read

ree

16 November 2025


KOTA KINABALU: Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah, yakin parti itu berada pada landasan kukuh untuk meraih kemenangan besar dan mengekalkan tampuk pemerintahan Sabah berdasarkan perkembangan sepanjang proses pengumuman calon hingga Hari Penamaan Calon.


Beliau berkata, kehadiran luar biasa jentera dan penyokong GRS di pelbagai kawasan sejak beberapa hari lalu jelas mencerminkan kesiapsiagaan parti itu menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU) Sabah kali ini.


Menurutnya, gelombang sokongan terhadap GRS semakin ketara, meskipun wujud beberapa kawasan yang dianggap sensitif atau berdepan kontroversi.


“Meskipun terdapat beberapa kawasan yang sedikit mencabar, ia tidak menggugat kekuatan keseluruhan GRS. Datuk Seri Hajiji Noor telah melakukan yang terbaik untuk memastikan parti berada dalam keadaan paling stabil dan bersedia,” katanya.


Aksyah turut melihat suasana pertindihan dan jumlah calon yang ramai sebagai salah satu faktor yang mampu memberi kelebihan kepada GRS.


“Dalam PRU kali ini, keadaan yang sesak dengan calon sebenarnya membuka ruang kemenangan kepada GRS apabila rakyat memilih parti yang paling konsisten membawa agenda pembangunan Sabah,” katanya.


Beliau mengakui terdapat beberapa kawasan yang menyaksikan GRS ‘bersentuh bahu’ dengan rakan kerjasama Pakatan Harapan (PH), namun menyifatkan situasi itu sebagai sebahagian daripada proses demokrasi.


“Kita anggap ia sebagai perlawanan persahabatan bagi menentukan siapa calon yang diterima rakyat. Yang penting, rakyat akan memilih berdasarkan rekod dan hala tuju jelas,” ujarnya.


Mengulas strategi kempen, Aksyah mengingatkan calon dan jentera GRS supaya tidak leka dengan momentum semasa, sebaliknya memperhebat usaha mendekati pengundi terutama golongan muda.


“Terdapat 660,000 pengundi muda Sabah yang menjadi penentu besar kemenangan kali ini. Jentera perlu mencari, mendekati dan memastikan sokongan mereka terikat sehingga Hari Pengundian,” katanya.


Berdasarkan analisis senarai calon dan situasi semasa di kawasan tertentu, beliau optimis GRS berpotensi memenangi sekurang-kurangnya 37 kerusi.


“Misi setiap calon dan jentera adalah memastikan kerusi masing-masing menjadi penyumbang kemenangan bermakna untuk membolehkan GRS terus kekal sebagai kerajaan,” tegasnya.


Beliau turut menyeru rakyat Sabah agar memastikan kemenangan mutlak GRS demi merealisasikan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada penggal seterusnya.


“Undi kepada calon GRS bermakna kita mempertahankan maruah bangsa dan wilayah Sabah. Kemenangan GRS membawa misi jelas — maruah kita dijulang, kestabilan diperkukuh dan pembangunan rakyat diperkasakan,” katanya.


Aksyah dalam pada itu mengingatkan rakyat agar tidak membuat pilihan yang boleh merugikan masa depan negeri.


“Jangan sampai kita hanya dianggap boleh ‘dipujuk dengan roti Gardenia’. Masa depan Sabah terlalu besar untuk dipertaruhkan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page