Guru Dibunuh Abang Kandung
- nabalunews
- Jul 6
- 1 min read

6 Julai 2025
TUARAN: Seorang wanita maut akibat diserang abang kandungnya yang dilaporkan mengalami masalah mental dalam kejadian di Kampung Tenghilan, Tamparuli, Jumaat lalu.
Mangsa yang juga seorang guru berusia 41 tahun itu ditemui berlumuran darah di rumah keluarganya, dengan beberapa kecederaan parah di bahagian leher dan kepala.
Kejadian disedari ahli keluarga mangsa yang kemudiannya terus menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan segera.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag Maidin berkata, suspek yang juga abang mangsa berjaya ditahan di lokasi kejadian.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, suspek berusia 47 tahun terbabit dipercayai mengalami masalah mental.
“Suspek juga dikatakan pernah menjalani rawatan susulan di fasiliti kesihatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Noraidin berkata, suspek ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran bagi membantu siasatan termasuk motif kejadian.
“Proses bedah siasat akan dijalankan di Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) hari ini untuk membantu siasatan.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
Sementara itu, Noraidin menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan sehingga boleh mengganggu siasatan polis.
“Sebarang maklumat, boleh disalurkan menerusi Hotline Polis Tuaran di talian 088-794313 atau tampil mana-mana balai polis yang berhampiran,” katanya.
Comments