Hajiji diminta lepaskan jawatan Ketua Menteri jika tidak mahu dengar suara rakyatHajiji diminta lepaskan jawatan Ketua Menteri jika tidak mahu dengar suara rakyat
top of page
  • Farah Salim

Hajiji diminta lepaskan jawatan Ketua Menteri jika tidak mahu dengar suara rakyat


13 Nov 2021

Oleh Farah Salim


KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (Warisan) meminta Datuk Seri Hajiji Noor untuk meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Sabah jika beliau tidak mahu memperjuangkan suara rakyat Sabah yang marah dengan layanan yang diberikan oleh Malaya.


Pengerusi kepada Biro Masyarakat Kadazan Dusun Murut (KDM) parti itu, Matthew Yong berkata, ini sebaiknya dilakukan agar martabat rakyat Sabah tidak akan terus diperlekehkan oleh Malaya.


Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Seri Azis Jamman, Hajiji semalam menyatakan bahawa sentimen Sabah keluar dari Malaysia tidak seharusnya timbul kerana ia akan menggugat keharmonian dan perpaduan kaum di Malaysia.


Semasa di Dewan Rakyat baru-baru ini, Azis berkata, gerakan menuntut kemerdekaan Sabah dilihat semakin lantang bersuara susulan tindakan Kerajaan Persekutuan yang dilihat menganaktirikan Sabah dalam tuntutan hak-hak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Hajiji seharusnya memandang serius momentum yang semakin bertambah kuat mendesak Sabah keluar daripada Malaysia jika benar inginkan keharmonian.


“Sebagai seorang pemimpin utama negeri ini, Hajiji seharusnya mendengar suara rakyat yang marah dengan layanan yang diberikan oleh Malaya selama 58 tahun dalam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Matthew juga menjelaskan bahawa kebimbangan ini turut disuarakan oleh timbalan Hajiji sendiri, iaitu Presiden STAR Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, mengenai layanan berat sebelah yang diberikan kepada Sabah oleh pihak Persekutuan.


Semasa perbahasan beliau di sidang Parlimen baru-baru ini, Jeffrey menyatakan bahawa layanan tidak adil ke atas Sabah dan Sarawak telah menyebabkan 60 peratus rakyat di kedua Wilayah ini mendesak keluar daripada gabungan Malaysia.


Sementara itu, Bung Mokhtar juga tidak berpuas hati dengan peruntukan sebanyak RM5.2 bilion yang diberi Sabah.


Menurut Matthew, isu mendesak Sabah keluar dari Malaysia bukan lagi cakap kosong kerana ia semakin diperkatakan oleh rakyat Sabah bukan sahaja di media sosial, tetapi juga di kedai-kedai kopi.


“Sabah boleh mencapai kemerdekaan melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa persetujuan Malaya. Malaya sendiri telah mengabaikan tanggungjawab mereka ke atas Sabah dan Sarawak di mana Laporan Kemajuan seperti terkandung dalam Artikel 73e di bawah Resolusi UN1541 tidak pernah diserahkan seperti yang diminta oleh PBB.


“Selama 58 tahun berada dalam Malaysia, Sabah jatuh miskin walaupun pada hakikatnya, negeri ini cukup kaya dengan hasil bumi sebagai pengeluar minyak dan gas terbesar di Malaysia.


“Bukan sahaja status Sabah dan Sarawak daripada Wilayah diturunkan kepada Negeri pada tahun 1976, malahan minyak Sabah juga turut menjadi tabung UMNO melalui Akta Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750),” jelasnya.


Beliau juga berpendapat bahawa Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman sepatutnya menegaskan untuk mendesak Malaya memulangkan semula 30 peratus hasil sumbangan KDNK Sabah kepada Kerajaan Persekutuan, tidak termasuk cukai tahunan sebanyak 40 peratus.


Oleh sebab Sabah telah menyumbangkan sekitar RM60 bilion kepada negara melalui KDNK pada tahun lalu, Matthew berkata negeri itu sepatutnya mendapat sejumlah RM18 bilion dan bukan RM5.2b seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan semasa pembentangan bajet 2022.


“Mengimbau kembali kepada sejarah Pembentukan Malaysia melalui MA63, (Perdana Menteri ketika itu) Tunku Abdul Rahman jelas mengatakan bahawa pembahagian peruntukan adalah 33 peratus Sabah, 33 peratus Sarawak dan 33 peratus Persekutuan Tanah Melayu.


“Rakyat Sabah pasti akan menyokong Hajiji jika beliau tidak berlagak seperti seorang pemimpin yang penakut kepada Malaya dengan menyuarakan ketidak adilan ini dengan lantang.”


Beliau turut menyoal mengapa Hajiji menyatakan peruntukan yang diberi Sabah merupakan berita baik sedangkan jumlah itu menunjukkan pengurangan daripada peruntukan lain sejak tahun 2019.


Tambahnya, Sabah hanya mendapat 6.8 peratus daripada jumlah keseluruhan peruntukan pembangunan 2022 iaitu sebanyak RM75.6 bilion banding dengan 9.1 peratus pada 2019, 9.3 peratus pada 2020 dan 7.3 peratus tahun ini.


“Sebagai sorang Ketua Menteri, Hajiji juga sepatutnya mempersoalkan kenapa hanya RM10 juta Peruntukan Pembangunan kaum yang diberikan kepada Sabah dan Sarawak berbanding beratus juta kepada kaum Cina, India malahan Orang Asli sendiri mendapat RM274 juta.


“Jika kerajaan Warisan Plus membelanjakan RM43 juta untuk membaik pulih rumah ibadat di Sabah pada 2019, kenapa Hajiji membisu dengan peruntukan sekecil RM50 juta dari Malaya kepada yang bukan beragama Islam seluruh negara?


“Adakah Hajiji bertindak sebegini kerana takut kehilangan jawatan Ketua Menteri atau memang betul seperti yang didakwa oleh ramai rakyat Sabah bahawa Hajiji umpama seekor kerbau peliharaan Malaya?”


Matthew juga beranggapan bahawa Hajiji tidak setanding dengan Datuk Seri Shafie Apdal, Ketua Menteri sebelum ini yang banyak mempertahankan hak Sabah.


“Untuk menyelamatkan Malaysia, kembalikanlah MA63 kepada Sabah dan Sarawak. Sudah-sudahlah memperbodohkan kami.


“Kami rela keluar Malaysia daripada terus dijarah segala hasil bumi tapi mendapat pulangan yang amat sedikit. Biarlah Hajiji dan pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sahaja yang mendokong Malaya,” tegasnya.

bottom of page