top of page

UPKO mahu Kerajaan Persekutuan gugurkan rayuan berkaitan keputusan hak 40% Sabah

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

18 Januari 2026


KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menggugurkan rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan berhubung ‘grounds of judgment’ keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berhubung semakan kehakiman mengenai hak 40 peratus Sabah.


Presidennya Datuk Ewon Benedick berkata, pendirian itu selari dengan perjuangan berprinsip parti yang mahu penyelesaian hak 40 peratus berasaskan kepada penghormatan dan keikhlasan sebenar melaksanakan hak Sabah tersebut.


“Inilah inti Malaysia yang mesti terus diperjuangkan oleh UPKO. Inilah ‘soul searching’ – pencarian jiwa politik kita selama ini yang harus berani menoleh kebelakang samada Persekutuan yang ditubuhkan ini telah memberikan keadilan kepada perjanjian yang telah ditandatangani pada tahun 1963 tersebut.


“Kita memerlukan pelaksanaan semula hak 40 peratus ini bagi menyelesai keperluan pembangunan, pembasmian kemiskinan, program-program ekonomi, perindustrian dan keusahawanan, kesejahteraan rakyat, biasiswa dan pembangunan modal insan serta pelbagai pembangunan lain untuk rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pelancaran Persidangan perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17, di SICC, di sini, hari ini.


Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, mesyuarat kedua jawatankuasa peringkat pegawai kanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sepatutnya dibuat pada bulan Disember tetapi ditangguhkan.


“Pendirian Sabah yang sepatutnya dibawa oleh delegasi pegawai kanan Sabah adalah bagi Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan yang dibuat di Mahkamah Rayuan. Tetapi mesyuarat tersebut ditangguhkan.


“Saya tidak boleh menjawab bagi Kerajaan Persekutuan mengapa mesyuarat tersebut ditangguhkan, boleh bertanya kepada mereka,” katanya.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyatakan akan mengamb bahagian dalam perbahasan di Parlimen dan akan mengulangi pendirian UPKO agar Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan tersebut.


“Kita tidak mahu menafikan wajah kemajuan Sabah hari ini lebih baik daripada sebelum tahun 1963.


“Kita menghargai penyelesaian 13 perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 setakat ini. Kita menghargai hubungan baik Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri telah memungkinkan penyelesaian 13 perkara tersebut dicapai.


“Tetapi perkongsian hasil dengan pemberian semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah kepada Kerajaan Negeri yang terhenti pelaksanaannya sejak tahun 1974 masih merupakan tuntutan utama rakyat Sabah yang masih belum diselesaikan,” katanya.


Sehubungan itu Ewon berkata, UPKO menyertai rakyat Sabah, samada melalui gerakan Kerajaan, politik, perundangan, akademik, aktivistme mahupun media sosial akan terus menuntut penyelesaian hak 40 peratus ini.


“Keberadaan kita dalam Kerajaan Persekutuan sejak Disember 2022 sehingga saya memutuskan meletak jawatan dalam Kabinet Persekutuan telah merekodkan pendirian-pendirian parti yang telah saya perjuangkan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page