Sabah berhak dapat subsidi diesel – Ewon
- nabalunews
- 17 minutes ago
- 2 min read

27 Mac 2026
KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick menegaskan, Sabah berhak menerima subsidi diesel memandangkan negeri itu adalah antara pengeluar utama minyak dan gas negara.
Beliau berkata, hasil minyak dan gas dari Sabah selama ini turut menyumbang kepada pembangunan negeri-negeri lain yang tidak mempunyai sumber sama.
“Kita menghargai keputusan Persekutuan memberikan subsidi diesel kepada Sabah. Saya terlibat dalam membuat keputusan itu semasa saya masih berada dalam Kabinet Persekutuan ketika itu.
“Kita mempertahankan keputusan tersebut kerana Sabah merupakan negeri atau kawasan yang mengeluarkan gas dan minyak. Saya konsisten mengatakan bahawa hasil gas dan minyak daripada Sabah dan daripada negeri-negeri pengeluar gas dan minyak, telah mensubsidi pembangunan di beberapa negeri lain yang tidak mengeluarkan gas dan minyak.

“Sebab itu Sabah berhak mendapat pulangannya, bukan hanya dari segi pembangunan, tetapi juga memastikan hasil itu digunakan untuk keperluan domestik di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UPKO Putatan, di Dewan Sri Putatan, kelmarin.
Ewon yang juga Presiden UPKO berkata, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan memberi keutamaan kepada keperluan domestik, khususnya di negeri-negeri pengeluar sumber tersebut.
“Pada pandangan saya, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan mengkaji bagaimana keperluan domestik diutamakan. Sabah sebagai wilayah yang mengeluarkan serta menyumbang hasil gas dan minyak berhak mendapat semula pulangan daripada hasil tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai pengurangan kuota subsidi diesel daripada 300 kepada 200 liter, beliau berkata kerajaan persekutuan perlu memberi penjelasan lanjut berhubung langkah itu, walaupun mengakui konflik di Asia Barat memberi kesan kepada harga minyak global.

“Memang benar peperangan memberi kesan kepada harga minyak dunia, namun mungkin sudah tiba masanya Malaysia melihat bagaimana minyak yang diambil daripada negara ini digunakan untuk keperluan domestik,” katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan rakyat terhadap kemungkinan gangguan bekalan barangan asas, khususnya makanan, yang banyak bergantung kepada pengangkutan laut.
“Bukan hanya pemain industri, rakyat juga bimbang mengenai bekalan makanan harian kerana pengangkutan utama melalui laut telah terjejas.
“Inilah sebabnya kenapa kita memberi mesej kerjasama melalui sambutan perayaan seperti ini. Di negara yang jauh daripada sini, berlaku peperangan kerana perbezaan,” katanya.
Beliau berkata, dari segi politik, Sabah, Sarawak dan Semenanjung memang ada perbezaan serta tuntutan hak yang belum dilaksanakan sepenuhnya.
Bagaimanapun katanya, tuntutan itu tidak menjejaskan semangat kerjasama antara wilayah di Malaysia.
Beliau turut mempersoalkan pihak yang mempertikaikan pemberian subsidi diesel kepada Sabah.
“Kalau ada yang mempersoalkan, tanya dahulu siapa yang mengeluarkan gas dan minyak itu. Sabah adalah pengeluar dan berhak mengetahui apa yang dikembalikan kepada rakyatnya.
“Sejak Akta Kemajuan Petroleum dikuatkuasakan, Sabah kehilangan sumber terbesar iaitu gas dan minyak. Saya mempertahankan keputusan memberikan subsidi diesel dan subsidi-subsi lain yang diperlukan oleh rakyat Sabah kerana sememangnya kita berhak.
“Kita sudah mensubsidi pembangunan di tempat lain, jadi kembalikan apa yang Sabah sepatutnya dapat yang telah hilang sejak akta-akta tertentu diperkenalkan, terutama Akta Kemajuan Petroleum,” katanya.

Mengenai sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran UPKO Bahagian Putatan, Ewon berkata, ia adalah sebahagian daripada tradisi parti itu dalam meraikan perayaan utama pelbagai kaum di Sabah.
Menurutnya, penganjuran rumah terbuka seperti itu mencerminkan usaha memupuk perpaduan dan semangat saling menghormati dalam kalangan rakyat.
“Ini adalah cara kita memupuk kebersamaan dan memperkukuhkan semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.















Comments