top of page

Hajiji - GRS akan menang, rumah kita tetap kukuh

  • nabalunews
  • Oct 19, 2025
  • 2 min read

19 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memperoleh kemenangan

dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17, hasil kesatuan, kesiapsiagaan dan

semangat juang jentera parti di semua peringkat.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi GRS berkata, pelancaran jentera GRS menjadi medan penting memperkukuh strategi dan semangat seluruh anggota menjelang PRN yang bakal berlangsung bulan depan.


“Jika kita memiliki jentera yang efisien, terlatih dan bersatu hati, insya-Allah GRS akan

mencatat kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Sabah ke-17,” katanya semasa

berucap melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa

Sabah (SICC) di sini pada Ahad.


Beliau mengingatkan jentera parti agar tidak leka, sebaliknya bekerja keras untuk

memastikan kemenangan besar dan memastikan Sabah kekal ditadbir oleh kerajaan yang stabil dan berwibawa.


“Kita mesti semarakkan semangat juang dan memperkukuh kesatuan. Dengan semangat yang padu dan kesatuan yang kukuh, tiada kekuatan lawan yang mampu menggugat perjuangan kita,” katanya.


Hajiji berkata, walaupun dua parti memilih untuk keluar daripada gabungan menjelang

Pilihan Raya, kekuatan dan perpaduan GRS kekal utuh kerana perjuangan ini berasaskan keikhlasan dan persahabatan tulen demi masa depan negeri Sabah.


“Peristiwa ‘Langkah Kinabalu’ telah mengajar kita sesuatu yang amat berharga: rumah

kita sudah diuji, dan rumah kita tidak tumbang. Rumah kita, kita jaga – rumah kita,

rumah Gabungan Rakyat Sabah!” tegasnya.


Beliau berkata, GRS adalah cerminan kerjasama tulen parti-parti tempatan terbesar

di Sabah dan tiada gabungan lain yang mampu menandingi kekuatan itu.


“Tiada lagi gabungan sebesar GRS yang menyatupadukan parti-parti lokal dengan

matlamat memperjuangkan hak orang Sabah sebagai rakan kongsi dalam Malaysia.


“Sebab itu penting untuk kita pastikan GRS bukan sahaja menang, tetapi menang

dengan penuh bergaya!” katanya.


Hajiji turut menekankan bahawa PRN kali ini bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi

pertarungan menentukan masa depan Sabah.


"Kemenangan GRS akan memberi kita suara lebih besar dalam memperjuangkan hak

negeri dan memastikan dasar pembangunan sedia ada diteruskan. Jika gagal, rakyat

dan negeri ini akan rugi,” katanya.


Beliau turut menyeru jentera GRS di semua peringkat untuk menguasai medan media

sosial dalam menangkis fitnah dan menyalurkan maklumat tepat kepada rakyat.


"Pembangkang menabur fitnah dan propaganda di media sosial. Jika mereka

menyerang dengan kebohongan, kita mesti serang balik dengan kebenaran dan

fakta,” katanya.


Menurutnya, setiap ahli perlu menjadi penyampai maklumat yang tepat, berhemah

dan berfakta bagi menangkis tohmahan serta fitnah pihak lawan.


"Jangan biarkan Sabah ini kembali ke tangan mereka yang gagal mentadbir, tiada

hala tuju jelas dan hanya berpolitik atas dasar dendam serta kepentingan peribadi.


"PRN ke-17 kali ini bukan sekadar pertempuran di lapangan, tetapi juga di ruang

maya. Medan media sosial menjadi gelanggang utama untuk membentuk persepsi

rakyat.



“Kemenangan GRS banyak bergantung kepada sejauh mana kita mampu

menguasai ruang ini dengan mesej yang jelas, pantas dan berkesan", tegasnya.


Katanya, jika seluruh jentera GRS bersatu, tangkas, dan kreatif menggunakan media

sosial sebagai alat komunikasi utama, maka tidak ada propaganda pembangkang

yang mampu menggugat keyakinan rakyat terhadap GRS.


Hajiji menegaskan bahawa semangat juang GRS tidak akan luntur biarpun berdepan

cabaran getir.


“Gunung yang tinggi tetap kita daki, lautan yang dalam tetap kita renangi! Rumah kita,

kita yang jaga – bukan kita, siapa lagi?” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page