- Wartawan Nabalu News
Hajiji pengerusikan mesyuarat Kabinet Negeri pertama selepas rombakan
19 Januari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet Negeri di Menara Kinabalu di sini pada Rabu selepas rombakan yang menyaksikan pelantikan tiga menteri baharu dan pertukaran portfolio antara beberapa menteri.
Menteri baharu – Datuk James Ratib (Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat), Datuk Christina Liew (Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar) dan Phoong Jin Zhe (Pembangunan Perindustrian) – mengangkat sumpah pada 11 Jan.
Datuk Ir Shahelmey Yahya menghadiri mesyuarat itu buat kali pertama sebagai Timbalan Ketua Menteri III yang memegang portfolio Menteri Kerja Raya.
Ketua Menteri juga mengalu-alukan kepulangan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim yang telah bercuti sakit sejak tahun lepas.
Menteri lain yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I – Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Pertanian dan Perikanan), Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam (Kerajaan Tempatan dan Perumahan) – Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Mohd Arifin Arif dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong.
Comments