Hajiji perlu fokus selesaikan masalah rakyat, tidak perlu takut saya, kata Madius

17 Oktober 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor tidak perlu takut bersaing dengan sesiapa sahaja calon di Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Madius yang akan bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran berkata, Hajiji seharusnya memberi tumpuan kepada isu-isu rakyat.
“Merujuk kepada laporan media yang memetik Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang meminta saya agar tidak bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran, nasihat saya kepada beliau, tidak perlu takut dengan sesiapa, apatah lagi anak kampung seperti saya. Ini kerana selaku Ketua Menteri, beliau memegang tampuk kekuasaan politik Sabah dan mempunyai segala kuasa dan kapasiti.
“Oleh itu, janganlah bersusah payah berbelaja ribuan ringgit untuk mengadakan majlis di Tuaran hanya untuk meluahkan nasihat agar saya jangan bertanding lagi di kerusi Parlimen Tuaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Madius yang juga Ahli Parlimen Tuaran berkata, rakyat tertunggu-tunggu tindakan Hajiji untuk membantu rakyat dalam pelbagai isu antaranya masalah air, peluang pekerjaan dan kenaikan harga barang.
“Apakah yang rakyat harus buat ketika tidak ada bekalan air terutama sekali semasa mengadakan majlis keramaian atau berada dalam kesusahan seperti kematian.
“Setelah bergraduat apakah para belia harus buat di atas ketiadaan peluang pekerjaan di Sabah.
“Apabila ibu-ibu ke pasar, apa yang mereka harus buat dengan duit yang terlalu sikit dengan nilai duit sudah jauh merosot manakala harga barang sudah melambung tinggi.
“Apabila rumah-rumah dì Mengkabong semakin reput dan tidak selamat untuk dihuni, apakah tindakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Hajiji sejak dua tahun lalu?,” kata Madius.
Beliau berkata, rakyat kini mengharapkan tindakan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Sabah untuk memberi penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang mereka hadapi.
“Hajiji tidak perlu sibuk dan berbelanja beribu-ribu ringgit semata-mata untuk memberi nasihat kepada seorang insan di Tuaran bernama Madius Tangau supaya jangan bertanding lagi. Kenyataan yang sungguh melucukan.
“Mengapa Hajiji begitu risau dengan Madius Tangau.
“Hajiji juga tidak mengungkit apa yang telah berlaku di masa lalu, sebab barangkali kalau bukan langkah UPKO keluar Barisan Nasional (BN) selepas PRU 2018, UMNO masih memegang tampuk kekuasaan dengan Tan Sri Musa Aman sebagai Ketua Menteri. Hakikatnya ialah Hajiji berpeluang jadi Ketua Menteri Sabah kerana langkah UPKO. Beliau patut mengucapkan terima kasih kepada UPKO, bukannya menasihatkan saya jangan bertanding,” kata Madius.
Katanya lagi, ketika ini negara diselubungi pelbagai krisis termasuk krisis kepemimpinan, politik, ekonomi, kos sara hidup, malah negara masih lagi dalam krisis kesihatan.
“Ini semua berlaku sejak Perikatan Nasional (PN) menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui Langkah Sheraton, menerusi pintu belakang dan GRS (juga sebahagian daripada PN) membentuk kerajaan di Sabah.
“Selaku orang yang memegang tampuk kekuasaan politik tertinggi di Sabah, Hajiji harus menumpukan perhatian untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang melanda rakyat sekarang dan bukannya membantu kepemimpinan negara yang diselubungi krisi akibat rasuah, penyelewengan dan kepentingan peribadi yang melampau,” kata Madius.
Comments