Hajiji: Pindaan RUU Antilompat Parti demi rakyat, elak ADUN melompat
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hajiji: Pindaan RUU Antilompat Parti demi rakyat, elak ADUN melompat


26 Mei 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sabah menjadi negeri kesembilan di Malaysia yang melaksanakan undang-undang antilompat parti selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu meluluskan pindaan Perlembagaan Negeri Sabah pada 25 Mei.


Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pindaan itu bertujuan untuk mengelakkan ADUN Sabah bertukar atau melompat parti selepas pilihan raya.


Hajiji yang membentangkan usul rang undang-undang itu mendapat sokongan bulat daripada semua 75 ADUN yang hadir pada persidangan DUN Sabah.


Beliau berkata, pindaan itu adalah demi kepentingan rakyat dan negeri Sabah yang tidak mahu melihat krisis politik berulang.


“Syukur sidang DUN sudah selesai diadakan dan saya juga bersyukur dan berterima kasih kerana pindaan antilompat parti mendapat sokongan semua pihak.


“Dengan lulusnya pindaan Perlembagaan itu, maka kita tidak perlu lagi susah hati mengenai adanya ADUN yang akan melompat (parti) pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas persidangan itu, semalam.


Tambah Hajiji, pindaan Perlembagaan yang diluluskan itu akan diwartakan dalam masa beberapa hari atau minggu kerana ia perlu diserah dan diteliti oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin.


Beliau juga berkata, pindaan itu selaras dengan undang-undang antilompat yang diperkenalkan di peringkat Persekutuan.


Pindaan Perlembagaan Negeri Sabah itu melibatkan pengguguran Perkara 6(7) yang merujuk kepada ketua parti politik yang memenangi kerusi majoriti pada pilihan raya sebagai seorang ADUN Sabah yang mempunyai kemungkinan mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.


Pemimpin gabungan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyambut baik kelulusan pindaan itu dan menganggapnya sebagai satu langkah bersejarah untuk mengubah landskap politik Sabah.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page