Hak 40 Peratus: Keputusan Mahkamah Kemenangan Rakyat Sabah
- nabalunews
- Oct 17, 2025
- 1 min read

17 Oktober 2025
KOTA KINABALU: “Kemenangan besar bukan sahaja kepada SLS, tetapi juga kepada seluruh rakyat Sabah yang telah lama menantikan keadilan dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)”
Demikian tegas Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang berpihak kepada Sabah Law Society (SLS) berhubung hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan.
Madius berkata, seluruh rakyat Sabah sememangnya sudah lama menantikan keadilan dalam pelaksanaan MA63.

“Namun begitu, saya berharap agar Kerajaan Persekutuan tidak mengemukakan sebarang rayuan terhadap keputusan berkenaan.
“Mereka perlu menghormati keputusan mahkamah dan segera melaksanakan tanggungjawab yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Madius berkata, menerusi keputusan Mahkamah Tinggi itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah perlu mengadakan rundingan dalam tempoh 90 hari bagi menentukan jumlah sebenar hasil bersih 40 peratus yang wajar dikembalikan kepada Sabah.
“Seterusnya, bayaran atau pelunasan jumlah yang dipersetujui perlu dilaksanakan dalam tempoh 180 hari selepas rundingan selesai,” katanya.
Sementara itu, Madius menegaskan, beliau sentiasa konsisten memperjuangkan isu tersebut di Dewan Rakyat sejak sekian lama.
Katanya, dalam perbahasan Belanjawan 2026 baru-baru ini, beliau turut menegur bajet negara yang tidak mencerminkan kedudukan Sabah sebagai rakan setara dalam Persekutuan Malaysia.
“Syukur kepada Tuhan, hari ini Mahkamah telah membuat ketetapan yang berpihak kepada Sabah.
“Saya menyeru agar semua pihak terlibat iaitu Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan SLS bekerjasama dengan penuh keikhlasan bagi memastikan pelaksanaan keputusan ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negeri Sabah yang kita cintai.
“Keputusan Mahkamah Tinggi ini dilihat sebagai titik tolak baharu dalam perjuangan menegakkan hak Sabah di bawah MA63, sekaligus membuka lembaran penting ke arah pengagihan hasil yang lebih adil antara Sabah dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.















Comments