top of page

Hak 40 Peratus Sabah Tanggungjawab Undang-Undang, Bukan Pemberian Politik - Yong

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 1 min read

ree

9 November 2025


KOTA KINABALU: Hak 40 peratus hasil bersih Sabah adalah tanggungjawab undang-undang yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan, bukannya pemberian politik atau tindakan kemurahan hati Kerajaan Persekutuan, kata Naib Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP), Yong Yit Jee.


Yong yang juga Ahli Majlis Tertinggi SAPP berkata, hak tersebut dinyatakan dengan jelas di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan, sekali gus membuktikan bahawa ia bukanlah isu yang boleh ditafsir mengikut kehendak politik.


Dalam hal ini, katanya, Sabah perlu mempunyai suara tempatan yang bersatu, tegas dan jelas dalam mempertahankan hak negeri ini.


“Hanya melalui sebuah kerajaan Sabah yang benar-benar berasaskan parti tempatan, hak Sabah dapat dijamin dan tidak lagi disalah tafsir atau dipolitikkan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.


Kenyataan Yong itu susulan video tular memaparkan seorang individu membangkitkan persoalan mengenai tuntutan 40 peratus hak Sabah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa lawatan beliau ke Gaya Street, hari ini.


Menurutnya, perkara dibangkitkan itu memperlihatkan kesedaran rakyat Sabah yang semakin tinggi terhadap hak mereka, dan pada masa sama menyerlahkan jurang kefahaman antara Putrajaya dan aspirasi rakyat negeri ini.


“Saya pasti ramai rakyat Sabah merasakan bahawa jawapan Perdana Menteri itu seolah-olah memperlekehkan kefahaman mereka terhadap hak sendiri.


“Rakyat Sabah bukan mudah dipermainkan. Mereka tahu bahawa 40 peratus itu ialah hak perlembagaan mereka, bukan hadiah yang boleh diberi atau ditarik sesuka hati,” ujarnya.


Tambah Yong, rakyat Sabah bukan meminta layanan istimewa sebaliknya menuntut pelaksanaan penuh hak sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama diperjuangkan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page