top of page

Hak dan Kepentingan Sabah Terus Dipertahankan

  • nabalunews
  • 17 minutes ago
  • 2 min read

ree

3 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Hak dan kepentingan negeri Sabah akan terus dipertahankan dan dilindungi khususnya melibatkan sempadan dan kedaulatan wilayah.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri sebelum membuat sebarang keputusan berkaitam sempadan negara.


Katanya, rundingan mengenai sempadan kawasan Ambalat tidak akan dimuktamadkan tanpa persetujuan Kerajaan Negeri Sabah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.


“Kerajaan Persekutuan tidak pernah berkompromi terhadap kedaulatan wilayah Sabah. Dalam kerajaan Madani, kita buat keputusan bersama dan ia bukan keputusan senyap atau rahsia.


“Saya dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Ketua Menteri Sabah hadir pada perbincangan rasmi dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, bagi membincangkan isu-isu sempadan selain potensi kerjasama pembangunan sumber tenaga di kawasan maritim bersama,”katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.


Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.


Anwar berkata, kerjasama perlu dibuat antara dua negara sekiranya hasil minyak itu terletak di dasar laut Malaysia dan Indonesia.


“Itu bukan bermakna kita menyerah. Kita tidak akan korbankan satu inci pun hak Sabah. Ini adalah usaha diplomatik yang berprinsip,” katanya.


Sementara itu, Anwar menegaskan bahawa sebelum ini kerajaan membelanjakan puluhan juta ringgit dalam pertempuran undang-undang di Mahkamah Sepanyol demi mempertahankan hak Sabah daripada sebarang pencerobohan atau tuntutan luar.


“Sabah sebahagian daripada Malaysia. Dan kita tidak akan biarkan walau satu inci tanah atau laut Sabah terlepas ke tangan mana-mana pihak.


“Hubungan baik dengan negara jiran seperti Indonesia tidak bermaksud tunduk, tetapi sebaliknya membuka ruang rundingan matang dan kerjasama dua hala yang saling menguntungkan.


“Sebarang bentuk kerjasama seperti projek bersama antara Petronas dan Pertamina di kawasan laut dalam masih tertakluk kepada rundingan lanjut dan undang-undang sedia ada,” katanya.


Menurutnya, rakyat Sabah tidak seharusnya tertipu dengan permainan politik kerana ia adalah soal kedaulatan yang tidak sepatutnya dipermainkan.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page