• Wartawan Nabalu News

Hak Sabah bukan untuk diperdagangkan selepas pilihanraya - Ewon

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

23 Oktober 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyatakan bahawa hak Sabah bukan untuk diperdagangkan atau diperjudikan selepas pilihanraya.


Beliau berkata, ini kerana tanpa Sabah dan Sarawak, tidak akan ada Malaysia.


Katanya lagi, Malaysia ditubuhkan melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), oleh itu perjuangan menuntut hak Sabah adalah milik semua rakyat negeri ini tanpa mengira fahaman politik.

“Kita tidak boleh menyatakan perjuangan itu milik satu parti sahaja. Apa yang kita dengar ada satu parti daripada Sabah mengaku dialah parti yang terbaik memperjuangkan hak Sabah dan tidak mahu bergabung dengan sesiapa.


“Mereka mengatakan kami menang dulu, baru kita runding siapa kerajaan, bagaimana hak Sabah ini mahu diperjuang dengan lebih baik.


“Saya ingin katakan kepada mereka bahawa hak Sabah tidak boleh diperdagangkan, hak Sabah tidak boleh diperjudikan, tidak boleh menang dulu baru runding, sebab hak Sabah, kita mesti urus dengan baik,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Jelajah Harapan Sabah bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Dewan La Salle Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu Ewon berkata, buat pertama kali dalam sejarah di Sabah, wakil-wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) Sabah telah mengambil tindakan perundangan  menyaman Kerajaan Persekutuan kerana tidak menunaikan tuntutan 40 peratus hasil persekutuan di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan.


“Kita sudah ke mahkamah untuk tuntut hak kita. Bukan hanya dalam majlis-majlis seperti ini kita bercakap tetapi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen juga kita bercakap mengenai perjuangan ini.


“Kelebihan kita dalam PH ialah kita telah sampai ke mahkamah untuk menuntut hak ini.

“Kita juga mendengar  rakan-rakan Parti Warisan bercakap tentang hak Sabah tetapi mereka membuka bahagian-bahagian di Semenanjung dan bertanding  di Johor dan akan bertanding lagi dalam PRU kali ini di Semenanjung. Pernah kita dengar mereka bercakap tentang hak Sabah di Semenanjung?


“Tidak pernah presiden mereka dan timbalan presiden mereka bercakap tentang hak Sabah apabila merasmikan bahagian-bahagian Warisan di Semenanjung. Ini yang saya katakan jangan hipokrit,” katanya.


Ewon berkata, ketegasan pemimpin PH Sabah sama ada UPKO, DAP atau PKR ialah menggunakan mahkamah untuk menuntut perjuangan hak Sabah.

“Perkara ini juga dibincangkan dalam Majlis Presiden PH dan bakal perdana menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga kita maklumkan tentang tuntutan-tuntutan kita,” katanya.


Oleh itu Ewon mengingatkan semua pengundi supaya bijak membuat pilihan pada PRU kali ini.


“Kita bukan setakat memilih Ahli Parlimen di kawasan kita tetapi kita memilih siapa perdana menteri dan Kerajaan Persekutuan persekutuan agar kita dapat meneruskan perjuangan menuntut hak Sabah,” katanya.


Beliau berkata, rakyat Sabah amat memerlukan seorang perdana menteri daripada parti berbilang kaum agar dapat melihat satu pendekatan reformasi tadbir urus kerajaan bebas rasuah.


“Melalui Pakatan Harapan, kita boleh, pastikan kemenangan pada 19 November ini milik PH dan bakal perdana menterinya adalah daripada gabungan berbilang kaum,” katanya.