Harga Beras Putih Import Diturunkan Mulai Esok
- nabalunews
- 7 hours ago
- 1 min read

14 Mei 2025
KOTA KINABALU: Harga beras putih import (BPI) di semua pintu gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di seluruh negara akan diturunkan kepada RM2,600 per metrik tan, berkuat kuasa esok.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, tindakan tersebut merupakan pelarasan kali kedua selepas penurunan harga pada 1 Disember tahun lalu daripada RM3,000 kepada RM2,800 per metrik tan.
Katanya, pelarasan harga BPI itu sebagai langkah proaktif untuk terus menjamin kestabilan bekalan serta mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
“Pelarasan ini adalah hasil sesi libat urus bersama Bernas dengan mengambil kira pelbagai faktor semasa termasuk perkembangan pasaran global serta keperluan menjamin kelangsungan rantaian bekalan makanan negara.
"Dalam pada itu, program subsidi BPI oleh kerajaan persekutuan bagi Sabah dan Sarawak akan diteruskan seperti biasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Madani yang berteraskan prinsip keprihatinan dan kesejahteraan rakyat untuk memastikan makanan ruji negara kekal mampu milik, mudah diperoleh dan sentiasa mencukupi.
Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil pendekatan strategik Bernas dalam mempelbagaikan sumber bekalan beras daripada pelbagai negara seperti Vietnam, Thailand dan Myanmar, seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada satu pasaran tunggal.
"Kementerian akan terus memantau perkembangan pasaran dan memastikan dasar yang digariskan kekal berpaksikan kepentingan rakyat dan keterjaminan makanan negara,” katanya.
Comments