Harga kawalan maksimum benih padi sah diselaraskan - KPKM
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Harga kawalan maksimum benih padi sah diselaraskan - KPKM


21 Oktober 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Program Insentif Benih Padi Sah (IBPS) kini mempunyai harga kawalan maksimum baharu yang berkuat kuasa sejak 20 Okt.


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penyelarasan itu bertujuan untuk mendorong penggunaan benih padi sah (BPS) yang berkualiti tinggi dan tahan penyakit di kalangan pesawah.


Beliau berkata, ketetapan itu juga untuk menghalang penggunaan benih padi tidak sah atau benih ‘kampit putih’ di pasaran tempatan.


“Dengan harga kawalan baharu ini, harga maksimum di pintu gudang syarikat pengeluar BPS diselaraskan daripada RM31 kepada RM40 per kampit 20 kilogram.


“Begitu juga, harga maksimum bagi peringkat runcit diselaraskan daripada RM35 kepada RM45 per kampit 20 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar khas semalam.


Katanya, penyelarasan kawalan harga maksimum itu tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan.


Mohamad berkata, ia juga tidak mengubah struktur pengeluaran, pembekalan dan pengedaran BPS yang sedia ada melibatkan 12 syarikat pengeluar BPS, 13 syarikat pemborong, dan 456 peruncit di seluruh negara.


Beliau berkata, KPKM peka dengan rungutan pesawah di lapangan iaitu berkaitan kesukaran mendapatkan BPS di pasaran serta kenaikan harga BPS per kampit 20 kilogram hingga RM50.


Pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu, kerajaan memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik.


Oleh itu, KPKM menjangkakan kenaikan harga padi benih ini akan menyebabkan kos pengeluaran benih padi termasuk bagi program IBPS akan turut meningkat dan tidak dapat dijual dengan harga kawalan maksimum lama iaitu RM35 per kampit 20 kilogram.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page