top of page

Harga runcit RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM2.60 seliter

  • nabalunews
  • Sep 30
  • 2 min read

ree

30 September 2025


PUTRAJAYA: Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi ditetapkan pada RM2.60 seliter bagi tempoh 30 September hingga 8 Oktober 2025.


Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Isnin berkata, melalui pendekatan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) warganegara Malaysia yang layak boleh menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter bermula hari ini.


"Di bawah BUDI95, rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter, dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi itu dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu," menurut kenyataan itu.


MOF berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit RON95 dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak dan menyokong kestabilan harga.


Tambah kementerian itu, harga runcit petrol bersubsidi RON95 bagi sektor pengangkutan awam darat dan pengangkutan barangan darat di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pula ditetapkan pada RM2.05 seliter bagi tempoh sama.


Sementara itu, harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM3.21 seliter bagi tempoh berkenaan.


Harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia kekal RM2.93 seliter, manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan turut kekal pada paras RM2.15 seliter.


Menurut MOF, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.


"Bagi pemandu e-hailing, kerajaan akan berurusan dengan Penyedia Perkhidmatan E-hailing (EHO) bagi mengenal pasti pemandu yang layak untuk had kelayakan tambahan petrol bersubsidi


"MOF bersama Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan memuktamadkan proses permohonan had kelayakan tambahan dengan pihak EHO minggu ini," katanya.


Selain itu, MOF memaklumkan kerajaan juga telah bersetuju mempertimbangkan supaya pengendali bot terutamanya di Sabah dan Sarawak layak untuk harga bersubsidi.


Menurutnya, kerajaan sedang bekerjasama dengan agensi dan kerajaan negeri bagi mengumpulkan data pemilik bot supaya pengguna tersebut tidak tercicir daripada menikmati kelebihan harga bersubsidi BUDI95.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page