top of page
  • nabalunews

Hari Kebangsaan: Semua pihak perlu pupuk semangat cinta negara

 


14 Ogos 2024

Oleh Wartawan Nabalu News

 

KENINGAU: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, ADUN Liawan, Datuk Annuar Ayub menyeru seluruh rakyat untuk mempertingkatkan semangat patriotisme dan cinta kepada negara, khususnya dalam kalangan generasi muda.

 

Beliau menegaskan bahawa Hari Kebangsaan bukan sekadar perayaan tahunan, tetapi juga kesempatan untuk mendidik generasi muda tentang makna sebenar kemerdekaan dan nilai kedaulatan negara.

 

“Hari Kebangsaan kita raikan setiap tahun, tapi mungkin ramai yang tidak tahu apa makna di sebalik itu dan nanti generasi muda kita tidak tahu akan nilai sebuah kemerdekaan.

 

“Jika kita lihat sekarang kita hidup dalam keadaan yang senang menyebabkan kita tidak akan faham apa erti kemerdekaan, jadi saya menyeru semua pihak untuk membantu dalam menyemarakkan lagi hari yang penting ini," katanya ketika merasmikan program Jiwa Komuniti Madani@ Merdeka Mukim Lingkudau serta Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Daerah Keningau di Dewan Serbaguna Kg Banjar, lapor Japen Sabah.

 

Annuar, yang juga Pengerusi Sabah Energy Corporation Sdn Bhd, turut menyatakan bahawa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah merancang pelbagai program untuk menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan.

 

Beliau berharap agar masyarakat, terutama golongan belia, lebih menghayati erti kemerdekaan dan bersama-sama mempertahankan kedaulatan negara.

 

 

Comments


bottom of page