HBP: Ewon santuni penduduk Kadamaian
top of page
  • Wartawan Nabalu News

HBP: Ewon santuni penduduk Kadamaian



8 Februari 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick menyantuni penduduk Kadamaian sempena Hari Bertemu Pelanggan (HBP), di Pejabat Pusat Khidmat Adun Kadamaian, Skyblue Piasau, di sini, hari ini.


Ewon berkata, HBP bukan sahaja diadakan di pejabatnta di Putrajaya tetapi turut diadakan di kawasan yang beliau wakili iaitu DUN Kadamaian dan Parlimen Penampang.


“Ini adalah cara saya mempermudahkan urusan wakil-wakil penduduk, usahawan, persatuan, sekolah dan pemimpin gereja menemui saya dan mengemukakan keperluan masing-masing tanpa pergi ke pejabat saya di Penampang dan Putrajaya.


“Hari ini saya menerima kunjungan daripada pengetua-pengetua sekolah menengah dan menyampaikan sumbangan kalkulator saintifik daripada Yayasan Bank Rakyat (YBR) kepada SMK Narinag, SMK Tambulion dan SMK Pekan 2,” katanya.


Ewon turut menerima kunjungan daripada Majlis Guru-Guru Besar Zon Timur, Majlis Permuafakatan Sekolah Swasta Kota Belud, Majlis Gereja-Gereja kawasan Kadamaian dan Koperasi Minitinduk Kiau Kota Belud Berhad.


Semasa menerima kunjungan Majlis Gereja-Gereja kawasan Kadamaian beliau bersetuju menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM500,000 dan peruntukan pentadbiran sebanyak RM150,000 untuk gereja-gereja di kawasan Kadamaian pada tahun ini.


Bagi peruntukan pentadbiran tersebut, RM100,000 adalah menggunakan peruntukan touchpoint beliau sebagai Adun dan RM50,000 lagi daripada peruntukan khas beliau sebagai menteri.


Ewon juga turut mengalu-alukan inisiatif penduduk Kg.Kiau menubuhkan koperasi berasaskan pelancongan iaitu Koperasi Minitinduk Kiau Kota Belud Berhad dan bersetuju membantu koperasi itu membina infrastruktur Sir Hugh Low's Historical Trail yang akan diusahakan oleh koperasi itu.

bottom of page