Hillside FT Ungguli Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Piala UPKO 2025 Zon F
- nabalunews
- Aug 5, 2025
- 2 min read

5 Ogos 2025
KENINGAU : Pasukan Hillside FT berjaya menampilkan keunggulan apabila dinobatkan sebagai juara Karnival Bola Sepak 9 Sebelah Piala Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) 2025 bagi Zon F, yang telah berlangsung pada 2 hingga 3 Ogos 2025 yang lalu bertempat di Padang Kampung Tagai, Keningau.
Karnival yang dianjurkan oleh Pergerakan Pemuda UPKO Pusat ini menghimpunkan sebanyak 18 pasukan dari daerah Keningau dan Ranau, dan dirasmikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda UPKO Pusat, Felix Joseph Saang.
Pasukan Hillside FT mempamerkan persembahan yang mantap dan konsisten sepanjang kejohanan, sekali gus mengatasi pencabar lain untuk muncul juara. Pasukan LEJ FC pula muncul sebagai naib juara, manakala tempat ketiga dan keempat masing-masing disandang oleh Intersport dan FC Irama Ramai.

Menurut Pengerusi Penganjur, Jeffsonzo Japrin, objektif utama penganjuran karnival ini adalah untuk menyemai semangat kesukanan dalam kalangan belia serta mempererat hubungan antara komuniti setempat. Beliau menegaskan bahawa acara ini bukan sahaja sebagai medan pertandingan, tetapi turut menjadi platform penting dalam membentuk nilai kepimpinan dan perpaduan dalam kalangan generasi muda.
“Syukur, kejohanan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Kami percaya bahawa usaha sebegini mampu menjadi landasan terbaik bagi memperkukuh semangat kesukarelawanan, kerjasama, dan keharmonian dalam kalangan komuniti, khususnya golongan belia,” katanya.
Jeffsonzo yang juga merupakan Ketua Pemuda UPKO Bahagian Keningau turut merakamkan penghargaan kepada semua pasukan yang telah menyertai kejohanan serta memohon maaf atas sebarang kekurangan sepanjang penganjuran.
Acara tersebut turut diserikan dengan kehadiran beberapa pemimpin UPKO, termasuk Ketua Bahagian UPKO Keningau, Datuk Dr. Laurentius N. Ambu; Ketua Bahagian UPKO Ranau, Georgina George; serta Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) UPKO Bingkor, Kennedy John.
Kejayaan penganjuran karnival ini jelas membuktikan keupayaan Jawatankuasa Zon F dalam menjayakan sebuah acara berimpak tinggi, sekali gus memberi harapan agar inisiatif ini dapat diteruskan secara konsisten pada masa akan datang sebagai satu agenda tahunan.















Comments