top of page
  • Wartawan Nabalu News

Hospital Papar siap naik taraf akhir tahun ini, manfaat lebih 100 ribu penduduk


8 April 2023

By Wartawan Nabalu News


PAPAR: Kerajaan komited untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di Sabah khususnya Papar dengan menyiapkan projek naik taraf Hospital Papar akhir tahun ini.


Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan perkara tersebut semasa melawat projek tersebut pada Sabtu.


Beliau berkata, projek yang melibatkan kos RM 98.5 juta itu telah diluluskan sejak 23 Mei 2017 dan tertangguh selama tiga tahun akibat pandemik Covid-19 dan beberapa faktor lain.


“Oleh itu, dengan terbinanya bangunan baharu Hospital Papar ini akan membantu lebih 100 ribu penduduk di daerah Papar serta kawasan sekitar bagi mendapatkan rawatan dan perkhidmatan kesihatan yang terbaik dan lebih selesa.


“Projek ini juga akan melibatkan pembinaan wad dengan pertambahan 84 katil yang merangkumi wad pediatrik, wad wanit a dan wad lelaki menjadikan keseluruhan kapasiti katil bagi Hospital Papar akan meningkat kepada 161 katil apabila projek ini siap.


“Selain itu, perkhidmatan yang bakal disediakan kepada pesakit termasuk Kecemasan dan Trauma, Pengimejan (X-Ray), Farmasi Satelit, Dewan Pembedahan dan jabatan-jabatan serta perkhidmatan lain yang berkaitan,” katanya.


Dalam pada itu, Dr. Zaliha berkata projek berkenaan kini berada pada tahap 62 peratus siap dan dijangka beroperasi mulai Mac tahun depan.


Turut hadir dalam lawatan itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Norhayati Rusli dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Rose Nani Mudin.



bottom of page