top of page

Kerajaan galak pemasangan Solar ATAP tangani kenaikan kos tenaga

  • nabalunews
  • 2 days ago
  • 2 min read

17 April 2026


PUTRAJAYA: Kerajaan menggalakkan pengguna domestik dan bukan domestik melanggan Program Peralihan Tenaga Solar yang Diperkukuhkan (Solar ATAP) bagi meningkatkan kemampanan tenaga kendiri serta mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik susulan krisis tenaga global.


Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), program yang dilaksanakan sejak 1 Januari lalu itu bertujuan menggalakkan pemasangan sistem solar di atas bumbung, seterusnya mewujudkan nilai ekonomi kepada pengguna melalui pengurangan kos tenaga.


“Usaha ini selari dengan pendekatan Malaysia yang menekankan kecekapan tenaga dan mengoptimumkan penggunaan sendiri.


"Program ini dijangka boleh meningkatkan kemapanan kendiri tenaga dan seterusnya mengurangkan kesan ketidaktentuan harga elektrik semasa," kata kementerian itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.


PETRA memaklumkan, bagi pengguna bukan domestik, pelbagai model perolehan seperti pajakan (solar leasing) dan sewa beli (rent to own) turut disediakan oleh syarikat pemasangan yang membolehkan penggunaan tenaga boleh baharu tanpa memerlukan modal awal.


Menurut kementerian itu, pihaknya sedang merangka penambahbaikan ke atas program Solar ATAP, khususnya untuk pengguna domestik, bagi membolehkan program itu lebih terjangkau kepada semua pihak terutamanya dalam mengimbangi kesan negatif akibat krisis tenaga global.


“Pengguna Voltan Sederhana (MV), Voltan Tinggi (HV) dan Voltan Ultra Tinggi (UHV) yang memerlukan harga elektrik stabil boleh mempertimbangkan Skim Bekalan Tenaga Boleh Diperbaharui Korporat (CRESS) untuk mendapatkan bekalan elektrik hijau jangka panjang,” katanya.


Syarikat yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program itu boleh menghubungi pembeli tunggal atau memuat turun Garis Panduan CRESS di laman web Suruhanjaya Tenaga di pautan https://www.st.gov.my/CRESS-guidelines.


Dalam pada itu, PETRA turut menggalakkan pengguna mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap termasuk menetapkan suhu penyaman udara pada 24 darjah Celsius, memilih peralatan elektrik cekap tenaga serta mengamalkan penutupan suis bagi mengoptimumkan kos penggunaan elektrik.


"PETRA yakin semua inisiatif ini mampu membantu rakyat dalam mengurangkan beban kos tenaga dan seterusnya menjadi pemangkin strategik dalam memperkukuh landskap tenaga negara untuk jangka masa yang panjang," katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page