top of page

Elak jadikan media sosial medan perdebatan provokatif - PDRM

  • nabalunews
  • Apr 17
  • 1 min read

17 April 2026


KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan media sosial sebagai platform perdebatan provokatif yang melanggar undang-undang, khususnya membabitkan isu sensitif berkaitan institusi diraja dan kerajaan.


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M Kumar berkata trend penggunaan media sosial untuk menyebarkan hantaran atau komen berbaur hasutan semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.


“Tindakan tidak bertanggungjawab ini bukan sahaja menjejaskan keharmonian ruang siber, malah berpotensi mencetuskan ketegangan dalam masyarakat jika tidak dibendung menerusi penguatkuasaan tegas.


“Ia jelas bertentangan dengan peruntukan undang-undang, khususnya di bawah Akta Hasutan 1948 (Akta 15), yang melarang sebarang perbuatan, ucapan atau penerbitan berunsur menghasut atau menimbulkan kebencian terhadap institusi diraja dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, berdasarkan statistik JSJ, sebanyak 30 kes dibuka untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 bagi tempoh Januari hingga Mac 2026.


Jelasnya, siasatan berkenaan membabitkan perbuatan atau perkataan yang mempunyai kecenderungan menghasut terhadap institusi diraja, isu perkauman dan pentadbiran keadilan dan kerajaan.


"Bagi kesalahan mengikut Seksyen 4(1) akta sama, individu yang disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama," katanya.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab serta tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara untuk menyebarkan kenyataan berunsur penghinaan, fitnah atau provokasi.


“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau aplikasi bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.


“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal selamat di samping memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial serta kestabilan negara,” katanya.

 
 
 

1 Comment


Mabel Cannon
Mabel Cannon
Apr 20

I love how the blocks in Block Blast fit together so perfectly; it's incredibly satisfying!

Like
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page