- Wartawan Nabalu News
Hujan berterusan di Sabah, Sarawak, Labuan sehingga Sabtu
13 Julai 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan dijangka mengalami hujan berterusan bermula hari ini sehingga Sabtu (15 Julai), menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
MetMalaysia, dalam satu kenyataan, berkata daerah - daerah yang terjejas oleh hujan berterusan adalah Limbang di Sarawak, pedalaman (Sipitang, Kuala Penyu dan Beaufort), pantai barat, Sandakan (Beluran) dan Kudat di Sabah.
"Kehadiran hujan berterusan ini disebabkan oleh angin monsun barat daya yang kuat dan keadaan pertembungan angin di Laut China Selatan," katanya.
MetMalaysia menasihatkan orang ramai untuk sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini melalui laman web MetMalaysia, aplikasi myCuaca atau media sosial MetMalaysia.
Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dan mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berada di kawasan yang berisiko mengalami banjir kilat, tanah runtuh, ribut petir dan angin kencang.
Comments