top of page

Hujan Ribut Runtuhkan Rumah di Sorob: Keluarga Terima Bantuan Awal

  • nabalunews
  • 9 hours ago
  • 2 min read

21 Mei 2025


KOTA BELUD: Insiden ribut kuat disertai hujan lebat yang berlaku di Kampung Sorob Tambulion, Kota Belud pada pagi Isnin, 19 Mei 2025, sekitar jam 8.45 pagi telah mengakibatkan sebuah rumah musnah teruk. Rumah tersebut didiami oleh tujuh sekeluarga yang dimiliki oleh Winnie Olah.


Rumah tersebut mengalami kerosakan struktur yang serius termasuk bumbung yang tercabut dan dinding yang runtuh, akibat tiupan angin kencang yang melanda kawasan berkenaan. Situasi ini telah menempatkan keluarga tersebut dalam keadaan tidak selamat dan memerlukan tindakan segera.


Pemaju Masyarakat, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian, Clarence Somuil, telah turun ke lokasi kejadian bagi melakukan penilaian awal terhadap tahap kerosakan.

Dalam masa sama, beliau turut menyerahkan bantuan segera berbentuk satu unit kanvas sebagai tempat perlindungan sementara dan bekalan makanan asas untuk kegunaan harian mangsa melalui touchpoint Bencana daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


“Keadaan rumah ini sangat membimbangkan. Lebih separuh daripada atap telah tercabut akibat angin kencang, manakala beberapa dinding utama telah runtuh sepenuhnya. Situasi ini memerlukan tindakan pantas daripada agensi bertanggungjawab bagi menjamin keselamatan penghuni,” jelas beliau ketika ditemui di lokasi kejadian.


Menurut Clarence, Winnie merupakan salah seorang penerima bantuan di bawah inisiatif Kerajaan Negeri, iaitu Program Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun ini. Sehubungan itu, beliau berharap agar sumbangan daripada mana-mana pihak dapat disalurkan segera bagi membolehkan kerja baik pulih sementara dilaksanakan sebelum proses pembinaan rumah baharu dimulakan.

Beliau turut menyatakan bahawa kerjasama pelbagai pihak, khususnya masyarakat setempat, amat penting dalam menghadapi situasi bencana tidak diduga seperti ini. Keutamaan kini adalah memastikan kebajikan dan keselamatan keluarga mangsa terjamin dalam tempoh pemulihan.


Insiden ini turut menggariskan keperluan untuk memperkukuh sistem sokongan bantuan bencana khususnya di kawasan luar bandar. Pihak berwajib seharusnya meneliti langkah-langkah lanjutan termasuk penyediaan penempatan sementara serta bantuan pembinaan semula yang bersesuaian.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page