top of page

HUMS, UNICEF Lancar Program Inovasi Kesihatan Mental Remaja di Sabah

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

ree

21 Ogos 2025


KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) melancarkan Program Inovatif Kesihatan Mental Remaja di HUMS baru-baru ini.


Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr. Hajah Malehah Datuk Mohd Noh berkata, penganjuran program itu bertujuan untuk membekalkan remaja dengan kemahiran emosi dan sosial yang penting bagi menghadapi cabaran kehidupan.


“Selain itu, program ini hadir tepat pada masanya memandangkan statistik menunjukkan kes buli di Malaysia meningkat sebanyak 77 peratus dari tahun 2015 hingga 2023.

ree

“Di Sabah khususnya, kadar prevalens buli dalam kalangan pelajar sekolah berada pada paras 9 hingga 10 peratus, membuktikan perlunya intervensi segera, pencegahan berkesan, serta penglibatan aktif semua pihak termasuk sekolah, ibu bapa, komuniti dan agensi berkaitan.


“Justeru itu, program ini dilihat mampu memberi kemahiran dan ruang selamat kepada remaja agar mereka dapat mengawal emosi, menyelesaikan konflik secara aman, dan saling menyokong,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan pada majlis pelancaran program tersebut.


Malehah berkata, inisiatif itu memberi tumpuan kepada aspek kesedaran dan pengawalan emosi, serta kemahiran interpersonal dalam kalangan remaja.


“Melalui sesi interaktif bersama pelajar dan guru, program ini menyediakan alat praktikal untuk membantu remaja mengurus tekanan, membina hubungan sihat, dan meningkatkan daya tahan diri.


“Kerjasama HUMS dan UNICEF ini turut merangkumi latihan kepada guru serta kaunselor sekolah, bagi memastikan kesannya berkekalan,” katanya.


Menurutnya, HUMS dan UNICEF berharap agar program ini bukan sahaja dapat mengurangkan kes buli dan tekanan emosi di sekolah, tetapi juga membentuk generasi muda Malaysia yang lebih berdaya tahan, berempati, dan bertanggungjawab terhadap masyarakat.


Hadir sama pada majlis tersebut Puan wakil Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Nowenna Willie D Tamsin; wakil UNICEF Malaysia, Aina Izzati Muslan; wakil Pengarah Pusat Keluarga LPPKN Negeri Sabah, Dr. Norhalili Mohd Tamiri; dan Pegawai Perubatan Psikiatri, Dr. David Tan Ming Gui.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page