top of page

Ibu bapa berperanan besar pastikan anak-anak tidak terjerat akaun keldai

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

29 Ogos 2026


PENAMPANG: Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak khususnya golongan remaja tidak terjerat dengan sindiket ‘akaun keldai’ sehingga boleh berdepan implikasi undang-undang.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, ibu bapa perlu memberi kesedaran dan peringatan kepada anak-anak supaya tidak mudah terpedaya dengan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mendapatkan akses atau menggunakan akaun bank mereka bagi tujuan penipuan.


Beliau berkata, tindakan membenarkan akaun digunakan pihak lain boleh menyebabkan pemilik akaun berdepan tindakan undang-undang sekiranya akaun berkenaan dikaitkan dengan kegiatan penipuan atau transaksi yang menyalahi undang-undang.

“Ini antara perkara yang perlu kita beri perhatian. Kita perlu memperingatkan diri sendiri, ibu bapa dan anak-anak khususnya remaja supaya tidak mudah terpedaya atau membenarkan akaun mereka digunakan oleh pihak lain.


“Penggunaan digital kini menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian kita. Sebab itu, selain memanfaatkan teknologi, kita juga perlu mengetahui risiko dan ancaman yang datang bersamanya,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Keibubapaan Digital Siri IV bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan, anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, hari ini.


Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang berkata, perkembangan teknologi digital telah mengubah cara masyarakat menjalankan pelbagai urusan termasuk transaksi kewangan, perniagaan dan permohonan bantuan kerajaan.


Menurutnya, penggunaan pembayaran melalui kod QR kini semakin meluas termasuk dalam kalangan peniaga di pasar, sekali gus menunjukkan transaksi digital bukan lagi sesuatu yang asing dalam kehidupan masyarakat.

“Ini sudah menjadi satu keperluan. Banyak urusan pada hari ini dilaksanakan secara digital dan kita perlu mempunyai pengetahuan serta kemahiran untuk menggunakannya dengan baik.


“Begitu juga dengan pelbagai geran keusahawanan yang disediakan di seluruh negara. Banyak permohonan geran untuk usahawan, persatuan dan koperasi termasuk yang disediakan Kerajaan Persekutuan kini dibuat secara dalam talian.


“Oleh itu, jangan kita ketinggalan kerana hampir semua kita mempunyai telefon pintar dan boleh menggunakannya untuk mendapatkan maklumat serta membuat permohonan secara dalam talian,” katanya.


Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan teknologi digital perlu diseimbangkan supaya masyarakat khususnya golongan muda tidak terlalu tertumpu kepada telefon pintar sehingga mengabaikan tanggungjawab serta perkara lain yang penting dalam kehidupan.


Dalam pada itu, Ewon menghargai penyertaan ibu bapa dalam Program Keibubapaan Digital berkenaan yang turut melibatkan tiga sesi ceramah oleh LPPKN.


Beliau berharap perkongsian melalui program itu dapat meningkatkan pengetahuan ibu bapa dalam membimbing anak-anak menggunakan teknologi digital secara selamat, bertanggungjawab dan berhemah.


“Saya akan terus menyokong inisiatif keibubapaan seperti ini yang bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat, tetapi turut memperingatkan saya sendiri mengenai tanggungjawab sebagai seorang bapa,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page