Ikatan kukuh GRS PH terus bela nasib rakyat
- Wartawan Nabalu News
- Oct 1, 2023
- 1 min read

1 Oct 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
TUARAN: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus bekerjasama dengan rakan dalam kerajaan sekarang iaitu Pakatan Harapan (PH) demi rakyat Sabah.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kerjasama ini perlu diteruskan kerana agenda perjuangan untuk membela nasib rakyat masih belum selesai.
Katanya, kerjasama dan perpaduan dari semua rakan komponen dan parti-parti dalam PH penting untuk mencapai agenda berkenaan.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH lah yang selamatkan kerajaan yang saya pimpin ketika krisis awal tahun ini.
“Kita akan teruskan kerjasama ini kerana agenda perjuangan kita untuk bela nasib rakyat masih lagi belum selesai,
“Kita kerjasama dengan parti yang boleh kerjasama, kita bukan parti yang sombong, kita hulur kerjasama (parti) yang boleh dengan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Tahunan PGRS Bahagian Sulaman 2023, di Dewan Sri Sulaman, di sini, hari ini.
Turut hadir Naib Presiden UPKO, Datuk Wong Thien Fook yang hadir mewakili Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick.
Hajiji berkata, GRS juga akan beri sokongan padu kepada kerajaan perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sementara itu, Naib Presiden UPKO, Datuk Wong Thien Fook berkata, UPKO sentiasa terbuka untuk mewujudkan kerjasama dengan mana-mana komponen.
Katanya, ini kerana kerajaan sama ada peringkat negeri mahupun persekutuan perlu menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira sebarang kepentingan politik.
“Setiap komponen perlu mempunyai persefahaman baik untuk memahami permasalahan ataupun merancang langkah terbaik khususnya dalam isu pembangunan dan kos sara hidup yang meningkat.
“Inilah tanggungjawab dan amanah diberikan kepada wakil rakyat yang dipilih. Tiada sebarang alasan ia tidak boleh dilakukan,” katanya.
Thien Fook berkata, beliau percaya kerjasama yang ada ketika ini sudah pasti membawa manfaat kerana setiap rakyat inginkan negara yang aman dan stabil.
Tamat
Comments