Individu Rugi RM26,400 Akibat Terpedaya Aplikasi Jual Beli Biskut Nyonya Mood
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

7 Januari 2026
LABUAN: Seorang individu mengalami kerugian selepas terpedaya dengan tawaran jualan biskut yang diketahui menerusi laman sosial.
Jualan biskut“Nyonya Mood” yang ditawarkan menerusi facebook itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM26,400.
Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, berdasarkan siasatan, mangsa mendakwa tertarik dengan iklan tawaran jualan di Facebook yang seterusnya berurusan melalui aplikasi WhatsApp.
Katanya, mangsa kemudiannya diarahkan memuat turun satu aplikasi melalui pautan yang diberikan suspek.
“Semasa pemasangan aplikasi berkenaan, telefon bimbit mangsa tiba-tiba menjadi tidak berfungsi seketika.
“Setelah telefon kembali aktif, mangsa mendapati beberapa transaksi kewangan telah dibuat tanpa kebenaran menyebabkan kerugian besar,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, modus operandi penipuan ini adalah dengan memuat naik iklan jualan menarik di media sosial sebelum arahan memuat turun aplikasi melalui pautan tidak rasmi.
“Kemudiannya berlaku pengambilalihan akses peranti dan akaun kewangan mangsa sehingga menyebabkan kerugian,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Hamizi menasihatkan orang ramai supaya tidak memuat turun sebarang aplikasi daripada pautan mencurigakan.
“Masyarakat juga digesa supaya tidak berkongsi maklumat perbankan atau OTP serta sentiasa membuat semakan sebelum melakukan sebarang transaksi dalam talian.
“Sekiranya mengesyaki sebarang penipuan, orang awam dinasihatkan untuk segera membuat laporan polis atau menghubungi NSRC 997,” katanya.


















Comments