top of page
nabalunews

Industri kurier negara sediakan lebih 160,000 peluang pekerjaan


9 November 2024


CYBERJAYA: Industri kurier negara telah menyediakan peluang pekerjaan kepada lebih 160,000 rakyat Malaysia dan ia dijangka akan terus berkembang.


Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkembangan itu selaras dengan sasaran kadar pertumbuhan kerajaan iaitu sebanyak 30 bungkus per kapita menjelang 2025.


"Menurut data Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada tahun 2023, industri kurier telah mencapai kadar 26.1 bungkusan per kapita.


“Angka ini menunjukkan kemajuan yang positif ke arah sasaran menjelang 2025,” ucapnya ketika merasmikan Hari Kurier Negara 2024 di sini hari ini.


Justeru, beliau menyeru majikan dalam industri terbabit untuk meningkatkan kualiti kehidupan pekerja.


Majikan boleh berbuat demikian dengan menyediakan latihan dan pembinaan kapasiti yang mencukupi melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).


Katanya, majikan juga perlu memastikan peluang kemajuan kerjaya yang adil, pampasan dan faedah yang sesuai.


Selain itu, majikan juga perlu menawarkan kemudahan keselamatan asas untuk menjaga kesihatan fizikal pekerja bagi meningkatkan produktiviti dan menyokong kemampanan industri.

Comments


bottom of page