top of page

Inisiatif pembiayaan KPKT bantu golongan muda miliki rumah pertama

  • nabalunews
  • Oct 13
  • 2 min read

ree

13 Oktober 2025


KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meneruskan pelbagai inisiatif sokongan pembiayaan perumahan bagi membantu golongan muda serta rakyat berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah pertama.


Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, dasar berkenaan selaras dengan prinsip Kerajaan Madani bahawa setiap rakyat berhak memiliki kediaman yang selesa sama ada melalui pemilikan atau sewaan, tanpa ada yang tertinggal.


Menurut beliau, antara inisiatif utama ialah Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) yang menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 khusus untuk golongan B40 dan M40 bagi pembelian rumah pertama sama ada rumah baharu, sedia ada atau lelongan.


“Selain itu, pelaksanaan skim sewa untuk dibeli (RTO) diteruskan bagi Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Program Residensi Rakyat di bawah seliaan KPKT.


“Program ini telah dilaksanakan di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan,” katanya di Dewan Rakyat pada Isnin.


Beliau menjawab soalan Mohd Nazri Abu Hassan (PN – Merbok) yang ingin tahu langkah KPKT untuk membantu golongan muda memiliki rumah pertama mampu milik di dalam bandar yang berkualiti dengan menyediakan kemudahan pembiayaan yang mencukupi.


Mengulas lanjut, Aiman Athirah berkata, konsep pembiayaan secara step-up financing juga diperkenalkan,membolehkan bayaran bulanan rendah pada awal tempoh pinjaman, yang meningkat secara berperingkat selaras dengan pertambahan pendapatan peminjam.


“Dalam pada itu, Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2.0 juga dilanjutkan hingga 2027 seperti diumumkan dalam Belanjawan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Selain itu, inisiatif pelepasan cukai individu turut diberikan sehingga RM7,000 bagi pembelian rumah pertama bernilai RM500,000, dan RM5,000 bagi rumah bernilai antara RM500,000 hingga RM750,000,” katanya.


Perdana Menteri mengumumkan KPKT akan menerima peruntukan sebanyak RM6.09 bilion dalam Belanjawan 2026 pada Jumaat lalu.


Peruntukan itu meningkat sebanyak RM154 juta berbanding RM5.93 bilion tahun ini untuk memperkasakan kerajaan tempatan, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memastikan kelestarian bandar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page