top of page

Inisiatif Yayasan KOSMA Mampu Membawa Keceriaan Ribuan Pelajar

  • nabalunews
  • Nov 5
  • 2 min read

ree

5 November 2025


KOTA KINABALU: Inisiatif yang dilaksanakan oleh Yayasan KOSMA bersama Kelab Rekreasi Cemerlang Sabah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya memberi keceriaan kepada pelajar serta komuniti setempat.


Program inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu juga dilihat membantu meningkatkan motivasi, semangat pembelajaran dan mengukuhkan hubungan antara komuniti, agensi serta pihak sekolah.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program tersebut bukan sahaja membantu meringankan beban pelajar dan keluarga, tetapi juga membuktikan bahawa gerakan koperasi di negara ini mempunyai jiwa besar untuk terus berbakti kepada masyarakat.

ree

Katanya, malah beberapa bulan lalu, Yayasan KOSMA turut melaksanakan Program Keusahawanan dan Kemahiran JORAN 2.0 di Sabah dengan peruntukan melebihi RM300,000 bagi membimbing 30 usahawan tempatan, sekali gus memperkukuh ekosistem keusahawanan di peringkat akar umbi.


“Selain itu, Yayasan KOSMA juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) termasuk menyumbangkan tangki air kepada beberapa kampung di Kadamaian, demi membantu masyarakat luar bandar menikmati kemudahan asas yang lebih baik.


“Usaha ini jelas menunjukkan bahawa koperasi bukan sahaja terlibat dalam aktiviti ekonomi, tetapi turut prihatin terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan komuniti,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Setiausaha Politiknya Carl Mossom.


Turut hadir, Pengarah Program, Dennison R Indang dan Ahli Lembaga pemegang amanah Yayasan KOSMA, Datuk Seri Halimi Abdul Manaf.


Ewon berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) sentiasa mengalu-alukan usaha CSR kerana ia melengkapkan inisiatif kerajaan dalam memperkasakan masyarakat luar bandar, usahawan kecil serta pelajar yang memerlukan.


Katanya, usaha ini bukan sahaja menjadi penyumbang kepada ekonomi negara, malah berperanan penting sebagai pemangkin pembangunan sosial dan pendidikan masyarakat.


“Kerajaan melalui KUSKOP akan terus memberikan sokongan kepada koperasi dan yayasan seperti KOSMA yang komited melaksanakan program berbentuk pembangunan insan, pendidikan dan kemasyarakatan.


“Kepada para pelajar di SK Pulau Gaya, sumbangan yang diterima diharap menjadi dorongan untuk terus berusaha mencapai kejayaan dalam pelajaran dengan penuh disiplin dan semangat juang yang tinggi,” katanya.


Ewon berkata, penghargaan turut disampaikan kepada para guru dan ibu bapa atas dedikasi mereka dalam mendidik anak-anak walaupun berdepan pelbagai cabaran termasuk kekangan lokasi dan kemudahan.


“Semoga inisiatif sebegini dapat diteruskan dan diperluas ke lebih banyak sekolah serta komuniti di seluruh negara, demi melahirkan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia,”’katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page