top of page

Inkues Zara Qairina: Simulasi Kejadian Guna Patung Di Lokasi Kejadian

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

ree

9 September 2025


KOTA KINABALU: Polis mensimulasikan semula tempat kejadian di lokasi Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu untuk mendapatkan gambaran lebih jelas.


Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah, D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Inspektor Maidon Bernadus berkata, simulasi itu dilaksanakan pada kira-kira jam 3 pagi, 3 Ogos lalu.


Katanya, simulasi itu dibuat selepas menerima permohonan Pegawai Penyiasat, Inspektor Wong Yew Zhung bagi memeriksa tempat kejadian pada 2 Ogos lalu.


“Saya mengetuai pasukan yang disertai empat lagi anggota polis pergi ke lokasi di asrama sekolah arwah Zara Qairina bagi membuat simulasi kejadian.


"Turut hadir bersama pasukan saya adalah pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Papar termasuk Pegawai Penyiasat kes serta wakil daripada warden asrama sekolah.


"Simulasi kejadian telah dijalankan menggunakan patung dengan berat asal 10 kilogram (kg)," katanya.


Beliau berkata demikian ketika membacakan keterangan bertulis di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada prosiding inkues kematian arwah Zara, pada petang Selasa.


Saksi kelima itu berkata patung dalam simulasi itu dipasang pemberat menggunakan batu bata di keliling bahagian pinggang ke bawah, bagi menjadijan berat keseluruhan 53 kg.


"Ketinggian patung adalah lebih kurang 180 sentimeter, iaitu melebihi 27 sentimeter daripada ketinggian fizikal si mati (153 sentimeter).


"Pembinaan semula tempat kejadian telah dijalankan pada anggaran masa sebenar insiden berlaku, iaitu sekitar jam 3 pagi, dengan pencahayaan terang hasil daripada lampu bangunan asrama serta lampu tambahan forensik," katanya.


Katanya, pegawai penyiasat sudah menyampaikan taklimat dan memberikan panduan mengenai keadaan semasa berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan sebelum ini.


"Tindakan pasukan saya seterusnya adalah membuat simulasi pergerakan patung ke bawah (permukaan tanah) bermula dari koridor berhadapan dengan tandas pintu tandas di aras tiga bangunan asrama.


"Dua jenis simulasi telah dibuat. Gambar dan video semasa proses simulasi juga telah diambil," katanya.


Maidon berkata, simulasi pertama dibuat dengan patung dijatuhkan terus secara tegak lurus dari koridor tanpa daya dorongan atau tolakan ke hadapan.


Simulasi kedua pula, katanya dibuat dengan patung dijatuhkan sambil menggunakan daya tolakan atau dorongan secara minima ke hadapan dari koridor.


"Semua maklumat telah direkodkan dengan sistematik untuk tujuan rujukan lanjut.


"Hasil simulasi pertama, saya mendapati jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama di aras bawah adalah lebih kurang 2.14 meter.


"Hasil simulasi kedua, jarak antara kedudukan jatuhan patung mendarat dan dinding bangunan asrama aras bawah adalah lebih kurang 3.45 meter," katanya


Secara keseluruhan, beliau berkata berdasarkan simulasi, pihaknya mendapati simulasi pertama iaitu jatuhan patung ke bawah tanpa daya tolakan atau dorongan adalah hampir dengan kedudukan mangsa melalui siasatan awal pegawai penyiasat.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page