top of page

IPD Kota Belud Beri Pendedahan Modus Scammer Terkini Kepada Guru Dan Ibu Bapa

  • nabalunews
  • 23 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


KOTA BELUD, 30 Julai – Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah (BSJKD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud mengadakan sesi ceramah keselamatan digital dan pencegahan jenayah scammer sempena Projek Katik-Katik Delima 3.0, di Dewan Sekolah Kebangsaan Pekan Kota Belud, pada Selasa lalu.


Program yang disampaikan oleh Ketua BSJKD IPD Kota Belud, Inspektor Khairul Azhar Razali itu menyasarkan golongan pendidik dan ibu bapa sebagai kumpulan sasaran utama bagi meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman jenayah siber yang kian berleluasa.


Sepanjang ceramah tersebut, pelbagai modus operandi jenayah komersil terkini telah didedahkan, termasuk penipuan pelaburan, pinjaman tidak wujud, panggilan telefon (phone scam), penipuan cinta (love scam), tawaran kerja sambilan palsu, penipuan e-dagang, serta sindiket keldai akaun.


Selain itu, peserta turut diberi pendedahan mengenai fungsi Pusat Respons Scam CCID (NSRC), talian hotline 997, dan platform Semak Mule bagi memudahkan orang ramai membuat semakan serta aduan sekiranya menjadi mangsa.


Turut ditekankan dalam sesi itu ialah peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 424A, 424B dan 424C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman tegas terhadap individu yang terlibat dalam aktiviti penipuan dan penyalahgunaan akaun bank.


Sesi soal jawab interaktif juga diadakan dan menerima sambutan positif daripada para peserta. Secara keseluruhannya, inisiatif ini berjaya memperkukuh kesedaran komuniti setempat terhadap bahaya jenayah siber serta langkah-langkah pencegahan awal bagi membendung penularan scammer dalam kalangan masyarakat di daerah Kota Belud.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page