top of page

Isu 40 Peratus: Faktor Penentu Naratif Politik Pada Pilihan Raya Umum Sabah

  • nabalunews
  • 11 minutes ago
  • 1 min read

ree

28 November 2025


KOTA KINABALU: Isu perbezaan antara parti seberang dan parti lokal terus menjadi antara topik yang sering dibangkitkan dalam landskap politik Sabah.


Pemerhati politik berpandangan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan kini muncul sebagai antara isu paling penting yang bakal mempengaruhi sokongan rakyat pada pilihan raya akan datang.


Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr Arvin Tajari berkata, hak 40 peratus ini merupakan peruntukan yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.


Katanya, mana-mana parti politik yang mampu membawa naratif yang jelas, sihat dan meyakinkan mengenai isu tersebut dilihat berpotensi meraih sokongan signifikan daripada pengundi.


“Tuntutan ini telah lama dianggap terabai, sekali gus mengukuhkan sentimen dalam kalangan rakyat Sabah yang semakin kritikal terhadap parti-parti nasional.


“Perkembangan ini turut menguatkan persepsi bahawa parti lokal lebih wajar mengetuai pentadbiran negeri kerana mereka lebih lantang memperjuangkan hak Sabah, khususnya dalam isu 40 peratus ini,” katanya.


Menurutnya, parti tempatan yang secara konsisten mengangkat naratif “kembalikan hak Sabah kepada Sabah”, sesuatu yang dianggap selaras dengan tuntutan rakyat.


“Dalam masa yang sama, wujud kekeliruan berhubung tindakan kerajaan Persekutuan yang sebelum ini menyatakan tidak membuat rayuan berkaitan keputusan mahkamah melibatkan isu 40 peratus.


“Namun, kenyataan rasmi di peringkat bawah menunjukkan sebaliknya, ia menimbulkan persepsi bercanggah yang boleh memberi kesan kepada imej kerajaan,” katanya.


Dr Arvin berkata, ketidakselarasan kenyataan ini boleh menjadi bahan kritikan kepada parti-parti kerajaan kerana ia mencerminkan komitmen yang dilihat tidak bersungguh-sungguh terhadap tuntutan Sabah.


“Ketegasan dan kejelasan dalam pendirian adalah penting bagi menunjukkan keseriusan kerajaan dalam menyelesaikan isu yang membawa implikasi besar kepada masa depan pembangunan negeri,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page