top of page

Isu Kesesakan Trafik di Pantai Tanjung Aru: Cadangan Penambahbaikan Infrastruktur Untuk Keselesaan Pengunjung

  • nabalunews
  • 7 hours ago
  • 2 min read


4 May 2025


KOTA KINABALU: Masalah kesesakan trafik di kawasan Pantai Tanjung Aru semakin mendapat perhatian masyarakat khususnya pada waktu petang dan hujung minggu apabila jumlah pengunjung terus meningkat secara ketara.


Kesesakan yang berlaku bukan saja menjejaskan kelancaran pergerakan kenderaan, malah menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung dan penduduk sekitar.


Bendahari Agung Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Dennison R. Indang berkata, Pantai Tanjung Aru merupakan destinasi ikonik bagi warga Kota Kinabalu dan pelancong dari dalam dan luar negara.


Oleh itu, katanya, adalah penting untuk memastikan akses ke kawasan ini kekal selesa, selamat dan terurus.


“Sehubungan itu, saya mencadangkan agar beberapa langkah penambahbaikan jangka

pendek dan panjang dipertimbangkan oleh pihak berkuasa berkaitan.


“Ia termasuk penambahan akses jalan keluar dan masuk ke kawasan pantai, termasuk pembinaan laluan alternatif atau pelebaran lorong sedia ada bagi mengurangkan kesesakan semasa waktu puncak.


“Selain itu, pihak berwajib wajar menyediakan kemudahan tempat letak kereta yang mencukupi dan efisien, sama ada dalam bentuk parkir bertingkat atau sistem parkir pintar bagi mengurangkan masa mencari ruang parkir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Menurutnya, pengenalan perkhidmatan pengangkutan awam atau shuttle mesra alam juga boleh membantu mengurangkan kesesakan dengan menggalakkan orang ramai meletakkan kenderaan di lokasi parkir luar dan menggunakan pengangkutan awam ke pantai.


Malah katanya, penambahan papan tanda arah dan sistem pandu arah yang jelas dapat membantu pelawat memilih laluan dan lokasi parkir yang betul akan mengurangkan kesesakan.


“Selain itu, perlu juga penyelarasan kawalan trafik antara pihak berkuasa tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengurus aliran trafik secara lebih sistematik dan responsif.


“Sebagai anak jati Kota Kinabalu dan pemimpin akar umbi, saya percaya penambahbaikan infrastruktur di kawasan Tanjung Aru penting bukan saja untuk pelancongan, tetapi juga untuk kesejahteraan komuniti tempatan.


“Saya bersedia untuk bekerjasama dan memberikan input lanjut sekiranya diperlukan,

demi memastikan Tanjung Aru kekal sebagai kawasan rekreasi yang membanggakan

dan mesra semua lapisan masyarakat,” katanya.

Comentários


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page