Jaket keselamatan wajib bagi pengguna pengangkutan laut - APMM Tawau
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jaket keselamatan wajib bagi pengguna pengangkutan laut - APMM Tawau


12 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


TAWAU: Pengguna pengangkutan laut, termasuk nelayan diingatkan supaya sentiasa memakai jaket keselamatan ketika berada dalam bot atau perahu bagi mengelakkan sebarang kemalangan atau musibah.


Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, jaket keselamatan adalah salah satu alat keselamatan yang penting dan wajib dipatuhi oleh semua pengguna laut.


"Kita tidak mahu berlaku tragedi bot karam seperti di perairan Sungai Melayu, Pulau Sebatik pada Jumaat lepas yang mana penumpang didapati tidak memakai jaket keselamatan.


“Perkara itu merupakan hasil analisis APMM sehingga menyebabkan mangsa gagal menyelamatkan diri dan akhirnya kehilangan nyawa," katanya.


Dalam kejadian Jumaat lepas, seorang lelaki dikenali sebagai Abdul Rahim Kasil, 56, hilang, manakala isterinya Nurlina Aripin, 52, terselamat, namun cedera di kaki selepas bot dinaiki mereka karam akibat perlanggaran dengan objek tenggelam.


Mayat mangsa ditemukan kira-kira 200 meter dari lokasi kejadian pagi semalam iaitu pada hari kedua operasi mencari dan menyelamat yang dilancarkan pihak berkuasa bersama penduduk setempat.


Shahrizan juga menasihatkan pengguna laut supaya sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang maritim yang ditetapkan bagi menjaga keamanan dan ketenteraman di perairan negara.


Beliau berkata, sehingga 31 Mei tahun ini, APMM Zon Maritim Tawau sudah melakukan 23 kes tangkapan ke atas pelbagai kesalahan, antaranya di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Imigresen 1959/1963 dan Akta Perikanan 1985, termasuk penyeludupan pendatang asing.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page