Jalan Kadazan Mostyn siap diselenggara
- nabalunews
- Feb 12
- 1 min read

12 Februari 2026
KUNAK: Jalan Kadazan Mostyn yang menghubungkan beberapa kawasan termasuk Kg Mostyn Lama, Kg Sri Bahagia, SK Mostyn, Kg Kadazan, dan bangunan Pencawang Masuk Utama (PMU) Sabah Electricity di sini sudah siap diselenggara oleh pihak konsesi, baru-baru ini.
Jalan utama itu yang menghubungkan kawasan terbabit sebelum ini sering mengalami kerosakan struktur terutama selepas hujan lebat sehingga menyukar dan melambatkan pergerakan kenderaan.
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif yang juga Adun Kunak, Dato Sri Anil Sandhu berkata beliau sebelum ini turut menerima aduan penduduk sekitar kawasan itu yang berdepan dengan ketidakselesaan disebabkan oleh struktur jalanraya rosak dan berlubang-lubang sepanjang laluan tersebut.
“Pemantauan berkala perlu dijalankan selepas ini supaya struktur jalanraya berada dalam keadaan baik dan selesa dilalui. Saya difahamkan pihak konsesi sudah selesai selenggara Jalan Kadazan Mostyn baru-baru ini dengan lapisan batu konkrit..”, katanya dan berharap jalanraya itu dapat dinaiktaraf kerana ia sudah diluluskan beberapa tahun lepas untuk diturap dan masih menunggu bajet daripada kementerian berkenaan.
Jalan Kadazan Mostyn antara laluan penting menghubungkan sekolah, kediaman penduduk dan Pusat Pelancongan ‘Tasik Impian’ di Mostyn.
Jalanraya yang baik dan selesa penting untuk jaringan perhubungan antara kawasan pekan dan luar bandar termasuk kawasan pelancongan jika lokasi itu menjadi tumpuan pelawat atau pelancong, katanya.















Comments