Jalan putus, khidmat bas percuma kepada pelajar SMK Tun Fuad Stephens, Kiulu
7 November 2024
TUARAN: Perkhidmatan bas percuma disediakan kepada kira-kira 60 pelajar Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens, Kiulu akibat masalah jalan yang terputus susulan mendapan tanah di kilometer 7.6 Jalan Kiulu - Tamparuli sejak akhir Oktober lalu.
Perkhidmatan bas percuma ini adalah untuk memudahkan pelajar sekolah berkenaan berulang alik dari rumah ke sekolah ekoran kemudahan pengangkutan yang terhad untuk mereka.
Perkhidmatan bas percuma ini dibiayai oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran.
Untuk rekod, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran melaksanakan pembiayaan bas pengangkutan kepada para pelajar sejak 24 Oktober 2024 selepas perbincangan bersama pihak sekolah pada 21 Oktober lalu.
Bas yang disediakan pihak sekolah itu akan membawa pelajar sidang pagi ke Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens, Kiulu pada pukul 6.00 pagi sebelum menghantar pelajar semula ke rumah masing-masing pada pukul 2.00 petang.
Pelajar sidang petang pula dihantar ke sekolah pukul 11.00 pagi dan dihantar balik ke rumah masing-masing pukul 6.00 petang.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens, Kiulu, Bandy Loo berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau bertindak dengan pantas untuk membantu pihak sekolah dalam perkara ini.
"Pihak sekolah telah meminta bantuan kepada pusat khidmat parlimen Tuaran bagi membiayai pengangkutan bas kepada pelajar-pelajar terjejas dari beberapa kampung seperti Rangalau Baru, Rangalau Lama, Bungoliu dan Tamparuli.
"Kita berharap agar kerja-kerja pembaikan jalan akibat mendapan dan tanah runtuh dapat dipercepatkan agar pelajar-pelajar dapat ke sekolah seperti sedia kala. Terima kasih banyak-banyak atas bantuan yang telah diberikan," katanya ketika ditemui.
Pelajar Tingkatan Lima Harmoni Sekolah Menengah Tun Fuad Stephens, Kiulu, Ellya Adryanna Roger berkata, bas percuma itu sangat membantu terutama kepada para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Disember ini.
"Saya sangat gembira kerana sebelum ini cuma ada sebuah bas sahaja yang ambil kami di kampung.
"Ini kerana bas-bas yang lain hanya sampai di kampung-kampung tertentu sahaja.
"Dengan adanya inisiatif bas percuma ini, kami tidak lagi perlu risau tentang ketiadaan kenderaan untuk membawa kami melalui jalan alternatif menuju ke sekolah," ujarnya yang berasal dari Kampung Bungoliu.
Pelajar Tingkatan Empat Sejahtera sekolah itu, Evanda Maichel turut senada dengan Ellya.
Beliau yang berasal dari Kampung Rangalau Baru berkata, laluan utama Jalan Tamparuli - Kiulu yang terputus menyebabkan ramai pelajar terkesan dan mengalami kesukaran untuk hadir ke sekolah.
"Namun, kami berasa lega apabila pihak sekolah dan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran telah mengambil inisiatif
untuk membantu kami.
"Terima kasih Datuk Seri Madius atas keprihatinan terhadap nasib para pelajar," katanya.
Seorang lagi pelajar iaitu daripada Tingkatan Lima Sejahtera, Welleryna Walter menyuarakan harapan agar pengangkutan bas itu dapat diteruskan sehingga jalan raya yang terputus siap dibaiki dan boleh digunakan semula.
"Inisiatif pembiayaan pengangkutan ini sangat mempermudahkan para pelajar yang terkesan. Terima kasih Datuk Seri Madius," katanya yang berasal dari Kampung Kotunuan Baru.
Ketika ini, kerja membaiki jalan yang terputus masih dilakukan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.
Jalan itu mendap sebelum terputus akibat kerosakan sistem saluran air di bawah tanah.
Ini menyebabkan pengguna jalanraya terpaksa menggunakan laluan alternatif.
Menurut JKR, pengguna dari kedua-dua arah dinasihat melalui laluan alternatif Jalan Bungoliu-Logkou-Timbok, Jalan Kiulu-Logkou Lama dan Jalan Kiulu-Lawa Mandau untuk ke Pekan Kiulu.
Kenderaan berat diminta tidak menggunakan jalan alternatif itu untuk mengelak kerosakan saluran air menjadi lebih teruk.
Pengguna juga dinasihat mematuhi arahan serta papan tanda keselamatan yang sudah diletakkan di kawasan kerosakan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Comments