UMS Sedia Kerjasama Bincang Solusi Air Kampung Kaniogan
- nabalunews
- Jul 17, 2025
- 1 min read

17 Julai 2025
BELURAN: Pasukan Makmal Hidup Rural Water Supply (RuWaS) Fakulti Sains dan Teknologi (FST) Universiti Malaysia Sabah (UMS) bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi membantu penduduk di Pulau Kaniogan, untuk mendapatkan bekalan air bersih.
Penyelidik RuWaS FST, Profesor Dr. Kawi Bidin berkata, pihaknya mengalu-alukan penglibatan ramai pihak dari segi penyaluran dana mahupun bantuan lain untuk membangunkan sistem yang boleh menyelesaikan masalah air di kampung berkenaan.
Katanya, pasukan penyelidik UMS telah membuat cerapan potensi air bawah tanah, kualiti air, serta potensi sistem rawatan dari sumber air sedia ada di pulau berkenaan

“Beberapa sampel air turut dikumpul untuk dibawa ke makmal bagi ujian seterusnya. Isu ini bukan saja melibatkan keperluan asas penduduk, malah memerlukan usaha kolektif dan komitmen jangka panjang demi kesejahteraan komuniti.
“Kami percaya bahawa dengan sokongan yang padu, kita mampu merealisasikan satu penyelesaian yang berimpak dan lestari," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas meninjau keadaan di Kampung Kaniogan, baru-baru ini.

Menurutnya, pihaknya mempunyai pengalaman dan teknologi yang sesuai untuk diaplikasikan di kawasan luar bandar.
“Apa yang diperlukan hanyalah kerjasama serta sokongan kewangan untuk melaksanakannya secara berkesan,” katanya.
Pulau Kaniogan dihuni oleh kira-kira 1,200 penduduk dan mempunyai masalah bekalan air bersih untuk diminum mahupun sebagai kegunaan harian.
Sementara itu, Ketua Kampung Kaniogan, Azmi Madlis berkata, penduduk terpaksa mendapatkan bekalan air dari pekan Beluran dan menyebabkan kos sara hidup mereka turut meningkat.
“Lebih membimbangkan, untuk mendapatkan bekalan air itu hanya boleh diakses oleh penduduk dengan menggunakan pengangkutan air sahaja,” ujarnya.
Terdahulu Makmal Hidup RuWaS FST UMS telah pun membangunkan beberapa sistem mikroloji bekalan air untuk kegunaan penduduk luar bandar di Pitas, Sabah.
Tamat















Comments