top of page

Jambatan Pekan Tuaran - Sg Damit dibina semula dalam RP5 RMK-12 dengan kos RM30 juta: Kementerian Ekonomi

  • nabalunews
  • Dec 5, 2024
  • 2 min read



5 Disember 2024


KUALA LUMPUR: Projek pembinaan semula Jambatan Pekan Tuaran - Sungai Damit telah disenaraikan dalam Rolling Plan 5 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2025 dengan kos RM30 juta.


Kementerian Ekonomi dalam satu jawapan bertulis di Parlimen Dewan Rakyat di sini memaklumkan kos tersebut turut meliputi kerja – kerja perobohan jambatan sedia ada.


“Kerajaan sedia maklum dan prihatin akan keperluan jambatan ini bagi penduduk setempat.


“Sehubungan itu, kerajaan telah meluluskan kerja awalan yang merangkumi pembinaan jambatan gantung sementara bagi laluan alternatif orang awam dan pelantikan perunding bagi merekabentuk semula jambatan Sungai Damit untuk dilaksanakan segera bermula Oktober 2024.”


Kementerian itu menjawab pertanyaan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dalam sesi soalan lisan.


Dalam soalannya, Madius meminta Kementerian Ekonomi menyatakan tindakan terkini terhadap Jambatan Sungai Damit, Tuaran yang telah diisytiharkan tidak selamat.


“Bilakah pembinaan semula jambatan ini akan dilaksanakan, serta berapa jumlah dana yang diperuntukkan untuk membina jabatan ini,” katanya.


Sementara itu, Kementerian Ekonomi memberitahu kontrak asal projek berkenaan telah ditamatkan akibat pelbagai masalah semasa fasa pembinaan.


“Berhubung hala tuju dan tindakan susulan projek ini, Jawatankuasa Task Force Damit Bil. 3/2023 pada 11 Februari 2023 di bawah Jabatan Perdana Menteri telah bersetuju dengan syor pembinaan jambatan baharu berdasarkan justifikasi value for money, ketahanan serta keselamatan pengguna.


“Walau bagaimanapun, disebabkan oleh pelbagai masalah semasa pembinaan, kontrak bagi projek jambatan ini telah ditamatkan pada 12 Disember 2023.


“Ia berdasarkan pengesyoran secara penamatan biasa oleh Pegawai Penguasa Projek iaitu Pengarah Kerja Raya Sabah setelah memastikan syor mengikut ketetapan kontrak serta mengambil kira pandangan daripada Peguam Negeri Sabah,” jelas kementerian itu lagi.


Untuk rekod, Pembinaan Jambatan Pekan Tuaran - Sungai Damit merupakan projek yang diluluskan Kerajaan Persekutuan pada 24 Mac 2017 di bawah Rolling Plan Kedua (RP2), RMK-11 dengan peruntukan RM18 juta.


Ia dilaksanakan Jabatan Kerja Raya Sabah dan diselia Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) di bawah Jabatan Perdana Menteri, sebelum dipindahkan ke Kementerian Ekonomi selaku Kementerian Pengawal baharu.

ความคิดเห็น


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page