top of page

Jangkitan Covid-19 dalam komuniti kekal tinggi di Sabah

Wartawan Nabalu News


25 Feb 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Peratusan jangkitan sporadic dalam komuniti kekal tinggi pada 65.48 peratus dan merupakan penyumbang utama jangkitan baharu di 20 daerah di Sabah.


Sehubungan itu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun mengingatkan rakyat negeri ini supaya mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) sepanjang masa semasa berada di khalayak ramai khususnya di tempat-tempat awam yang penuh sesak.


Beliau berkata, secara keseluruhannya, Sabah mencatatkan kes jangkitan baharu sebanyak 4,256 kes hari ini, menurun 636 kes berbanding jumlah semalam.


“Bagaimanapun jumlah ini harus dilihat dalam konteks bahawa sebahagian besar kes-kes baharu di beberapa daerah seperti Kota Kinabalu, Penampang, Papar dan Putatan merupakan keputusan saringan kes-kes tertunggak yang baru didaftarkan dalam masa 24 jam lalu.


“Sebanyak lapan kes kematian dilaporkan hari ini iaitu dua kes di Kota Kinabalu dan Kota Belud manakala masing-masing satu kes di Lahad Datu, Putatan, Tawau dan Keningau,” katanya dalam kenyataan media hari ini.


Masidi berkata, Kota Kinabalu kekal mencatatkan kes empat angka dengan 1,241 kes.


“Sebanyak 11 daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Papar, Putatan, Penampang, Tuaran, Kota Belud, Tawau, Sandakan, Keningau, Beaufort, Lahad Datu dan Kota Marudu 100 kes,” katanya.


Daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini, 99.56 peratus atau 4,237 kes adalah dalam Kategori 1 dan 2, sembilan kes dalam Kategori 3, empat kes dalan Kategori 4 dan enam kes dalam Kategori 5.


Beliau berkata, tiada kluster baharu direkodkan hari ini dan satu kluster tempat kerja diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Jalan Binunuk melibatkan lokaliti Beaufort dan Papar.


“Jumlah kluster aktif di seluruh Sabah setakat ini ialah 41 kluster,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page