top of page

Jannie desak kerajaan beri komputer riba kepada pelajar kurang mampu di negeri ini

Writer's picture: Marryan RazanMarryan Razan


8 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan Jannie Lasimbang mendesak kerajaan negeri dan persekutuan supaya mengenalpasti dan memberikan komputer riba kepada para pelajar kurang mampu di negeri ini.


Selain itu beliau juga meminta kerajaan menepati janji menyediakan 10,000 komputer riba kepada pelajar kurang mampu di negeri ini termasuk meningkatkan akses internet untuk memudahkan mereka belajar dalam talian.


"Oleh kerana pembelajaran dan pengajaran di rumah (PdPR) kini menjadi platform pembelajaran yang penting, saya mendesak kerajaan Sabah dan Persekutuan menepati janji menyediakan 10,000 komputer kepada pelajar Sabah dan mengenal pasti mereka yang memerlukan bantuan, termasuk meningkatkan akses internet,” katanya, di sini, hari ini.


Jannie berkata, pandemik Covid-19 menyebabkan perubahan drastik dalam kaedah pengajaran dan pembelajaran dari kelas bersemuka ke kelas dalam talian melalui PdPR.



“Sebab itu, akses internet dan komputer riba menjadi keperluan asas para pelajar mengikuti kelas dalam talian dari rumah.


“Bagaimanapun, ramai ibu bapa terutama mereka yang mempunyai lebih dari satu anak tidak mampu membeli alat seperti tablet atau komputer riba untuk anak-anak mereka,” katanya.


Sehubungan itu katanya, Pusat Perhubungan ADUN Kapayan memulakan inisiatif membeli komputer riba yang diperbaiki untuk diberikan kepada pelajar kurang mampu.


Hari ini, Jannie menyerahkan 10 komputer riba yang diperbaiki kepada pelajar sekolah rendah dan menengah untuk memudahkan mereka mengikuti kelas dalam talian.



Empat daripadanya pelajar sekolah rendah menerima komputer riba 10 inci sementara enam lagi pelajar sekolah menengah menerima komputer riba 14 inci berserta aksesori dan beg.


"Terima kasih kepada Kempen My Gadget Sabah, yang dimulakan oleh Jay Lok dengan kerjasama Kenneth Wong dari Pusat Perhubungan ADUN Kapayan kerana menjayakan inisiatif ini dengan mengenal pasti komputer riba yang diperbaiki,” kata Jannie.


Sesiapa yang ingin menyumbangkan komputer riba terpakai atau wang tunai untuk membantu para pelajar kurang mampu, boleh menyalurkan sumbangan itu melalui akaun Pusat Khidmat DAP Penampang Public Bank 3208968403 atau menghubungi mereka di talian 012-8260706.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page