- Wartawan Nabalu News
JIKA PM TIDAK UMUM TARIKH PERSIDANGAN, AHLI PARLIMEN AKAN KE PARLIMEN 19 JULAI
2 Julai 2021
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Majlis Presiden Pakatan Harapan kesal sehingga kini Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) belum mengeluarkan sebarang kenyataan tentang langkah konkrit untuk menjunjung titah Seri Paduka Baginda berhubung sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021.
Menurut Majlis Presiden Pakatan Harapan, mereka memandang serius kenyataan media Istana Negara bertarikh 29 Jun dan ia adalah kali ketiga Yang di-Pertuan Agong menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh dan perlu bersidang.
“Majlis Presiden turut meneliti kenyataan media bersama Yang di-Pertua Dewan Negara dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat bertarikh 30 Jun, bahawa satu persidangan khas Parlimen diadakan sebelum 1 Ogos 2021 dicadangkan kepada Perdana Menteri,” kata kenyataan media itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng (DAP).
Menurut Majlis Presiden itu, sekiranya Perdana Menteri dan Menteri-Menterinya masih berdegil menderhaka kepada Seri Paduka Baginda dan Raja-Raja Melayu maka mereka bertanggungjawab mencetuskan krisis Perlembagaan.
“Sidang Parlimen perlu diadakan sebelum 1 Ogos ini untuk membahaskan krisis pandemik Covid-19 serta Proklamasi Darurat, Ordinan-Ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara, seperti titah pandangan Seri Paduka Baginda.
“Ini untuk memastikan usaha berkesan mengekang penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah ekonomi dan kehidupan harian yang dihadapi rakyat.
“Rakyat sekarang sangat tertekan sehingga ada yang membunuh diri dan ada yang mengibarkan bendera putih, maka sidang Parlimen ini mesti memberi fokus isu rakyat dan bukan isu politik,” kata kenyataan itu.
Majlis Presiden Pakatan Harapan berkata: “Sekiranya Perdana Menteri tidak membuat sebarang pengumuman berkaitan sidang Parlimen selewat-lewatnya 5 Julai ini, maka kami menggesa semua Ahli Parlimen sama ada Pembangkang mahupun Kerajaan yang menjunjung titah Tuanku dan menghormati semangat Perlembagaan untuk bersama-sama ke Parlimen pada 19 Julai ini”.
Comments