JIM Hantar Pulang 218 PATI Indonesia
- nabalunews
- 1 day ago
- 1 min read

16 Disember 2025
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, berjaya menghantar pulang 218 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menerusi Program Pemindahan, semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran itu melibatkan seramai 184 lelaki, 24 wanita dan 10 kanak-kanak.
Katanya, semua PATI itu ditahan di Depot Imigresen Tawau dan dipindahkan menerusi pengangkutan laut Terminal Feri Tawau, menggunakan kapal Francis Express dan Purnama Express ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

“Semua purata umur bagi tahanan yang terlibat pemindahan kali ini adalah antara berusia setahun sehingga 80 Tahun.
“Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa dan penjaga masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, sehingga kini, seramai 2,375 tahanan warganegara Indonesia sudah dihantar pulang, menjadikan jumlah besar iaitu seramai 10,431 orang dipindahkan balik ke negara asal melalui pengangkutan laut dan udara.
“Semua tahanan PATI telah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang- undang yang telah ditetapkan dan mempunyai Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) yang dikeluarkan pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Negeri Sabah.
Sehubungan itu, SH Sitti Saleha menegaskan pihaknya akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana majikan yang melindungi pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
“Majikan boleh dikenakan hukuman berat mengikut Akta Imigresen 1959/63 termasuk denda sehingga RM50,000, hukuman penjara dan sebatan bagi kesalahan bersubahat atau melindungi pendatang tanpa izin (PATI),” katanya.


















Comments