JIM laksana Ops Sapu dan Ops Mahir
- nabalunews
- Jun 4
- 1 min read

4 Jun 2025
SANDAKAN: Seramai 480 orang telah diperiksa menerusi Ops Sapu dan Ops Mahir yang dilaksanakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), disini pada awal pagi semalam (Rabu).
Operasi penguatkuasaan itu melibatkan pemeriksaan di penempatan rumah setinggan serta serbuan di tapak pembinaan perumahan dan kilang kayu di sekitar daerah Sandakan.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof, berkata, hasil pemeriksaan, seramai 238 orang dipercayai Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) telah ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan Imigresen dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Katanya, PATI yang ditahan terdiri daripada 88 lelaki, 88 wanita serta 62 kanak-kanak lelaki dan perempuan.
“Pemeriksaan awal mendapati, jenis kesalahan PATI itu termasuk mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada dokumen, Seksyen 15(1)(c) iaitu tinggal lebih masa, Seksyen 39(b) yang menyalah guna pas serta Seksyen 55(b) iaitu majikan menggaji PATI tanpa mengikut undang-undang yang dikuatkuasakan.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Depot Tahanan Imigresen di Sandakan pada Rabu.
Jelasnya, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Imigresen Sandakan, Lahad Datu, Kota Kinabalu dan Tawau.
“JIM turut menasihatkan kepada semua majikan agar mengambil pekerja mengikut undang-undang dan peraturan sedia dan menjaga kebajikan pekerja dengan sebaiknya dan tidak melanggar undang-undang yang dikuatkuasakan,”katanya.
Dalam perkembangan lain, Saleha berkata, jumlah tangkapan PATI setakat 4 Jun di negara ini adalah seramai 2,730 orang yang melibatkan seramai 53 orang tangkapan majikan.
Manakala katanya, jumlah yang diperiksa adalah seramai 13,850 orang menerusi operasi yang dijalankan setakat ini.
“Sementara jumlah pengusiran setakat 4 Jun 2025 adalah seramai 6,058 orang melalui pemindahan laut dan udara,” katanya.
Comments